KERAJAAN Greece yang liberal semalam mengumumkan sebuah masjid rasmi di Athens yang mengambil masa sedekad untuk disediakan akan dibuka menjelang September depan bagi memenuhi keperluan puluhan ribu penduduk beragama Islam di ibu negara itu.
“Kami berharap solat pertama akan dapat didirikan pada September,” kata Menteri Pendidikan Costas Gavroglu, selepas memeriksa kompleks bangunan hampir siap itu yang boleh memuatkan kira-kira 350 orang.
Imam masjid itu, Zaki Mohammed berkatapembinaan sudah selesai tetapi kakitangan diperlukan untuk operasinya akan dilantik, selepas pilihan raya umum, 7 Julai depan.
Athens satu-satunya ibu negara di Eropah yang tidak mempunyai masjid rasmi.
Projek itu bermula pada 2007, ketika wujud kritikan hebat daripada Gereja Ortodoks Greece yang berpengaruh dan sentimen nasionalis terhadap negara jiran Turki.
Beberapa undang-undang diluluskan untuk menubuhkan masjid rasmi di Athens, sejak 1890.
Masjid tanpa menara itu dipantau kerajaan Greece, terletak di kawasan industri Eleonas berhampiran sebuah kem pelarian. Difahamkan, kira-kira 300,000 umat Islam berada di sekitar Athens.
Kebanyakan masjid di Greece ditukar untuk kegunaan lain atau dimusnahkan, susulan perang kemerdekaan pada 1821 daripada Empayar Uthmaniyah.
Penduduk Islam di negara itu kebanyakannya pelarian atau pendatang dan mereka bersolat di lokasi tidak sepatutnya seperti dalam pangsapuri atau ruang bawah tanah. – AFP, 8 Jun, 2019.
Komen