UMURNYA sebaris dengan usia negara. Jiwanya melekat pada Umno lebih dua dekad. Namun, selepas kecewa dengan parti terbesar Melayu itu, Umi Kalsom meninggalkannya pada zaman reformasi 1998. PAS jadi pilihannya.
“Saya dulu membesar dengan Umno dan jadi ahli sejak umur 15 tahun. Saya masuk PAS sehinggakan adik beradik marah sebab mereka Umno. Saya pernah disingkirkan keluarga,” kata ibu kepada tujuh anak itu.
Akui pernah menyayangi Umno, tetapi beliau menukar haluan kerana melihat banyak kepincangan dalam parti itu. Beliau mendakwa wakil rakyat Umno amat berbeza daripada dahulu.
“Wakil rakyat (Umno) dulu sangat berbeza. Saya dahulu tinggal di Melaka. Dulu mereka mendekati rakyat bila-bila masa. Mereka juga tidak perlu rumah besar. Sekarang? Segalanya besar.
Namun dua tahun lalu, selepas perpecahan Pakatan Rakyat, ia sekali lagi mengecewakan wanita separuh abad ini.
Tanggal 16 September, ibu tujuh anak itu sekali lagi beralih fahaman politik dan memilih parti serpihan PAS iaitu Amanah. Ia dilakukan demi menuntut perubahan dalam negara.
“Amanah saya sertai sejak parti itu tertubuh. Dulu saya pilih PAS kerana mahu ke arah Islam. Umur pun waktu itu sudah 40 tahun.
“Bagi saya kini, sertai Amanah pun sama juga tiada beza. Mereka juga ada buat usrah.Tapi bila keluar daripada menjadi ahli PAS saya dilabel macam-macam. Keluar PAS bukan bererti murtad.
“Makcik dulu pergi PRK bantu. Tapi kalau nampak penyokong PAS, mereka tak nak pandang kita langsung,” kata Umi yang sering turun padang membantu jentera pilihan raya.

Umi Kalsom merupakan ibu kepada aktivis Syefura Othman yang menyertai pimpinan muda DAP.
Gadis Melayu bertudung yang lebih dikenali sebagai “Rara”, beberapa tahun lalu menjadi bualan hangat selepas penyertaan Dyana Sofya dalam parti DAP.
Bagaimanapun, Umi menghormati pendirian satu-satunya anak perempuannya yang menyertai parti majoriti Cina itu.
Beliau malah menganggap anak muda masa kini lebih tertarik untuk menyertai pakatan pembangkang berbanding kerajaan.
“Tujuh orang, hanya seorang saja perempuan iaitu Rara. Anak saya semua sokong Pakatan Harapan. Bagi saya, tak kisahlah. Mereka ada pendirian dan fahaman masing-masing.
“Lagipun sekarang anak muda tak ramai yang berpihak kepada kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Warga emas juga sudah berpaling dari Umno
Bagi Umi, perjuangan Umno mungkin sudah sampai ke penghujung kerana beliau mendakwa ramai individu sebayanya sudah tidak menyokong parti tertua itu.
“Warga emas sebaya makcik yang mana kurang bergaul, mereka mungkin susah nak keluar Umno. Ada pendapat mereka sayang parti dan jenama parti.
“Tetapi kalau yang banyak membaca (media alternatif) dan terima maklumat. Saya percaya mereka tidak lagi bersama Umno walaupun kita tak nampak.
“Kalau dulu, Umno sering takut-takutkan orang kampung, kalau kita kalah akan diancam DAP. Sekarang susah untuk main isu kaum.
Bangkit dari kanser payudara
Umi menjadi suri rumah sepenuh masa selepas berkahwin dengan suaminya, Othman Ariffin, 66, bekas penjawatan awam dari kementerian pertahanan.
Ulang tahun perkahwinan pada 1 September lalu merupakan yang ke 38 merupakan satu peristiwa yang bermakna buat Umi.
Beliau bersyukur kerana masih dapat bersama suami dan keluarga tercinta selepas pulih dari kanser payudara tahap dua yang dialami pada 2001.
“Dua tahun saya jalani rawatan. Alhamdulillah saya ada suami dan anak-anak yang menjaga. Rara waktu itu yang banyak jaga saya.
“Saya bukan saja kena kanser tetapi juga terkena kayap. Dan waktu itu semua ingat saya sudah tiada harapan.Tetapi kuasa Allah, masih hidup dengan izinnya.
“Saya harap saya dapat melihat perubahan Malaysia kerana sekarang pembangunan makin maju tetapi kos sara hidup juga tinggi. Rakyat sekarang tersepit,” katanya yang pulih sepenuhnya dari kanser pada tahun 2003.
Bagi Umi, sebagai anak merdeka beliau mahu isu-isu kemiskinan dan kos sara hidup dapat diselesaikan kerana itu adalah kunci rakyat membangun bersama jati diri.
“Sekarang, orang tertekan dengan kos sara hidup. Bawa kereta pun macam orang gila. Mereka pentingkan diri sendiri. Semangat mereka terhadap negara pun kurang.
“Masyarakat sekarang kurang patriotik. Bendera pun kalau bagi percuma belum tentu mereka ambil. Kenapa jadi macam ni? Kerana masing-masing tertekan.” – 25 September, 2017.
Komen