Selepas setahun jadi menteri, Maszlee akui banyak buat silap


Bede Hong

Ia ajar saya untuk tengok perkara daripada semua perspektif. Ia juga mengajar saya untuk lebih menghargai orang...orang media, guru, malah kerani sekolah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengulas kontroversi yang selalu berlaku terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2019.

DR Maszlee Malik malam ini mengakui beliau “buat banyak silap” dalam tahun pertama menjadi menteri pendidikan, menyebabkan banyak desakan menuntutnya berundur, termasuklah daripada Pakatan Harapan sendiri.

Daripada isu kuota pengambilan pelajar matrikulasi sehinggalah isu kasut hitam sekolah, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berusia 44 tahun itu berkata beliau tidak akan berjaya melepasi semua kontroversi itu sekiranya tiada sokongan kakitangan kementerian dan para guru.

“Saya mengaku saya buat banyak kesilapan,” kata Maszlee dalam wawancara selama 60 minit yang disiarkan secara langsung di Bernama malam ini.

“Saya mengaku kelemahan saya,” kata ahli Parlimen Simpang Renggam itu apabila ditanya tentang pengajaran diperolehinya sejak dilantik jadi menteri pada 21 Mei tahun lepas.

“Ia mencabar. Seronok juga teroka perkara baharu. Banyak perkara saya belajar. Banyak juga cabaran, cabaran yang saya tak pernah bayangkan. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan semua pengajaran ini kepada saya untuk saya belajar.

“Ia ajar saya untuk tengok perkara daripada semua perspektif. Ia juga mengajar saya untuk lebih menghargai orang…orang media, guru, malah kerani sekolah. Sebagai pensyarah, pengalaman saya terhad kepada dunia sendiri. Tetapi, saya makin sedar yang orang lain juga boleh beri sumbangan yang sangat banyak.”

Dalam wawancara yang memberi tumpuan kepada dasar pendidikan, Maszlee juga ditanya tentang hala tujunya untuk kementerian, termasuklah “perubahan budaya” dalam pendidikan.

Jelasnya, dua tumpuan utama adalah mengubah budaya masyarakat supaya melihat pendidikan sebagai tanggungjawab bersama dan pengukuhan peranan alumni institusi pendidikan.

“Kita mahu orang lihat pendidikan sebagai tanggungjawab bersama. Kerana itulah kita tukar nama PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) kepada PIBK (Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti) untuk melibatkan komuniti.

“Budaya alumni juga sangat kuat dalam kalangan sekolah elit dan berasrama penuh. Mengapa bukan sekolah di kampung, di Felda atau pinggir bandar?” kata Maszlee. 

Maszlee seringkali terjerut kontroversi berkaitan pandangannya tentang isu pendidikan negara.

Bulan lepas, kenyataannya mengaitkan isu kuota pengambilan pelajar Bumiputera untuk matrikulasi dengan kaitan pengambilan pekerja yang didominasi kaum bukan Bumiputera mendapat kecaman banyak pihak yang menganggapnya gagal memahami kedua-dua isu tersebut.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataan Maszlee dan berkata beliau akan terus kekal jadi menteri pendidikan ketika wujud ura-ura rombakan Kabinet akan berlaku. – 7 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen