KUMPULAN K-pop sensasi BTS dan ketua penerbitnya Bang Si-hyuk memperoleh keanggotaan dalam US Recording Academy, yang membolehkan mereka mengundi untuk memilih pemenang Anugerah Grammy, kata agensi pengurusan kumpulan itu pada Jumaat.
Agensi berita Korea Selatan Yonhap melaporkan bahawa BTS dan Bang berada dalam senarai sejumlah 1,340 anggota US Recording Academy bagi tahun ini, menurut Big Hit Entertainment dalam satu kenyataan memetik laman sesawang akademi itu.
Kumpulan itu menyertai anggota pengundian manakala Bang menjadi anggota profesional akademi tersebut, kata Big Hit.
Ditubuhkan pada 1957, US Recording Academy telah menganjurkan Anugerah Grammy setiap tahun sejak 1959, bagi mengiktiraf bakat dalam industri muzik.
Pemberian keanggotaan itu membolehkan kumpulan tersebut mengundi mulai tahun 2020 dan seterusnya.
“US Recording Academy menerima permohonan daripada artis dan mereka dalam industri muzik untuk menjadi anggotanya setiap tahun, namun proses kelulusan amat ketat,” kata Big Hit.
“(Keputusan) Ini seolah-olah mencerminkan impak serta sumbangan BTS dan Bang di pentas muzik global,” katanya.
Terdahulu, Bang disenarai dalam Billboard 2019 sebagai International Power Players dan majalah AS Variety sebagai International Music Leaders. – Bernama, 7 Jun, 2019.
Komen