SELEPAS lebih empat tahun memeluk Islam, mualaf buta Tan Mike Foong berasa lebih teruja meraikan Aidilfitri apabila keluarganya makin menerima keputusan itu.
Pemuda berusia 23 tahun itu amat bersyukur keluarganya kini sudah dapat melihat kebaikan agama Islam selepas melihat kebajikan dirinya terjaga.
“Keluarga sudah boleh terima. (Ibu bapa fikir) Islam tiadalah kejam sepertimana yang aku fikirkan sebab, anak aku dibiaya dan dan dijaga kebajikannya,” katanya.
Tan memberitahu The Malaysian Insight beliau bersyukur kerana kebajikannya dijaga melalui sumbangan zakat selepas memeluk Islam.
“Saya puji pembayar zakat sekali sekalian semoga Allah membalas kebaikan kamu. Kadang-kadang ada sesetengah (mualaf) memerlukan kewangan,” katanya yang memeluk Islam pada 11 Jun 2015.
Katanya, beliau terbuka hati terhadap Islam selepas memahami makna ayat Kursi dalam surah Al-Baqarah (ayat 255).
Beliau juga tertarik dengan laungan azan dan ayat suci al-Quran di televisyen sejak kecil dan suka menyertai program berkaitan Islam di sekolah malah mengikuti kelas pendidikan Islam.
Kini, anak sulung daripada tiga beradik itu belajar tahfiz al-Quran dan Qiraat di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Selangor dan bakal tamat pengajian pada 2022.
Penerima biasiswa Jakim itu berkata beliau kini memahami erti kemenangan orang Islam selepas berjaya menahan nafsu dari lapar dan dahaga selama sebulan.
“Aidilfitri merupakan satu kemenangan kepada umat Islam. Kita kembali kepada fitrah kerana Allah telah mengampun semua dosa kita di bulan Ramadan,” katanya lagi.

Seorang lagi mualaf yang hampir enam tahun memeluk Islam turut bersyukur hubungannya dengan keluarga kembali terjalin.
John Selvaraj yang memeluk Islam pada 2014 berkata beliau pada asalnya menerima banyak tentangan daripada keluarga selepas bertukar agama.
Namun kini beliau bersama keluarga sering berhubung malah meraikan Aidilfitri bersama-sama di kampung isterinya di Batu Pahat, Johor.
“Mula-mula masuk tanggapan keluarga kita kena jauhkan diri dariapda keluarga. Hubungan keluarga renggang. Tetapi selepas bertahun saya mendalami Islam dengan betul-betul.
“Selepas berkahwin pada 2016, itulah titik permulaan saya erat bersama keluarga. Mereka mula faham dan terima,” kata pengusaha restoran di Senawang itu.
Beliau berharap pada mualaf yang baru mendekati Islam agar kumpul kekuatan untuk menghadapi apa saja dugaan.
“Kepada mualaf, harap banyak bersabar semasa permulaan masuk Islam. Ia sangat menguji dari segi fizikal dan ekonomi. Sentiasa bersabar dan istiqamah.
“Lagi banyak kita belajar lagi banyak kita boleh hargai dalam islam,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Anak kelahiran Melaka yang tinggal di Sungai Buloh itu berkata, Hari Raya merupakan satu kemenangan bukan saja selepas berpuasa dari lapar dan dahaga tetapi juga berjaya mengawal nafsu.
“Kepentingan berpuasa bukan sebab tahan lapar sahaja tetapi mengawal fizikal daripada perasaan marah. Ini bulan tempoh latihan kita sebulan dalam setahun,” kata John, 29. – 7 Jun, 2019.
Komen