Latheefa adalah orang luar untuk bersihkan SPRM, kata penganalisis


Bede Hong

Pelantikan peguam hak asasi terkenal Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mencetuskan bantahan banyak pihak, tetapi penganalisis berpandangan ia peluang untuk bersihkan agensi penting negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2019.

LATHEEFA Koya berkemungkinan besar dipilih menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beliau adalah “orang luar” yang boleh membantu mengubah agensi itu, kata seorang penganalisis.

Pengarah Asia Institute University of Tasmania James Chin percaya yang bantahan politik terhadap pelantikan Latheefa sengaja diperbesarkan.

“Pelantikannya bagus. Kita jangan teruja sangat (mengkritik). Berikan dia peluang, katakan selama 12 bulan,” katanya.

“Realitinya terdapat banyak ‘jerung’ terlepas dengan habuan yang sangat banyak. Jadi, inilah masanya orang luar sepertinya masuk dan bersihkan rumah (SPRM). Saya menyokong sepenuhnya pelantikan itu.”

Latheefa dinamakan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu dengan kontrak perkhidmatan selama dua tahun pada Selasa lalu. Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang berundur walaupun kontraknya hanya akan tamat pada 17 Mei 2020.

Chin menggelarkan pengumuman Putrajaya menjelang Hari Raya itu sebagai “kejutan besar”, juga menolak dakwaan pelantikan Latheefa adalah agenda permainan kuasa dalam kepimpinan Pakatan Harapan.

“Saya fikir kekecohan yang wujud hanya sebab (orang) terkejut. Tidak pernah sekali pun saya dengar khabar angin dia mengejar jawatan politik selain daripada (disebut sebagai) bakal YB dalam pilihan raya akan datang. Juga, orang yang tidak tahu terkejut bila Shukri mahu berundur. Hakikatnya, dia sudah mahu berundur selepas Najib didakwa.”

Menyentuh hala taju yang akan diambil Latheefa untuk SPRM, Chin berkata ketua baharu itu berkemungkinan besar akan menangani kes berprofil tinggi seperti kematian Teoh Beng Hock.

“Tugasnya sukar memandangkan SPRM adalah organisasi yang sangat tertutup,” katanya.

Jelas Chin lagi, hubungan akrab Latheefa dengan Peguam Negara Tommy Thomas bukanlah perkara penting.

“Hala tujunya tidak ada kaitan dengan peguam negara kerana tugasnya adalah untuk menyiasat dan menyerahkan kertas siasatan kepada AG. Hubungan mereka tidak sepenting hasrat politik untuk menangkap ‘jerung’. Ketika ini, AG dan (Dr) Mahathir (Mohamad) juga ada hasrat politik yang sama. Tetapi, ia mungkin berubah.”

“Senarai sasarannya banyak. Sangat banyak. Jadi dia perlu pilih yang berprofil tinggi dan kita semua tahu siapa mereka,” kata Chin lagi.

Latheefa dilantik Sabtu lalu dan memulakan tugasnya di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Walaupun, perdana menteri mempunyai hak untuk pelantikan ketua SPRM, PH sebelum ini dalam manifesto pilihan rayanya berjanji akan melantik jawatan utama agensi kerajaan dengan saringan Parlimen.

Beberapa kumpulan pergerakan sivil termasuklah Bersih 2.0 dan Badan Peguam sudah menyuarakan soal ketelusan pelantikan Latheefa. Malah, sebuah petisyen dalam talian di Change.org sudah diwujudkan untuk mendesak Latheefa berundur, setakat ini sudah mengutip 2,300 tandatangan.

Latheefa bagaimanapun tidak terkesan dengan bantahan ke atas pelantikannya, menyifatkan semua orang berhak menyuarakan pandangan.

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa. Tugas saya jelas, iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

“Dengan sokongan dan dukungan rakyat dan pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 7 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen