Pencemaran udara India punca kematian lebih 100,000 kanak-kanak setahun


Laporan Alam Sekitar India (SoE) mendapati pencemaran udara bertanggungjawab ke atas 12.5% kematian di seluruh negara- menggambarkan kegagalan kerajaan dalam menangani isu alam sekitar. – Gambar EPA, 7 Jun, 2019.

UDARA tercemar yang menyelubungi bandar dan pekan di India membunuh lebih 100,000 kanak-kanak bawah lima tahun setiap tahun, kata sebuah kajian diterbitkan pada Rabu sempena Hari Alam Sekitar Dunia.

India dilaporkan berulang kali gagal menangani isu alam sekitarnya. Tahun lepas, laporan PBB mendapati 14 daripada 15 bandar paling teruk tercemar terletak di India.

Dan walaupun wujud desakan menangani alam sekitar di seluruh dunia, ahli politik India meminggirkan isu tersebut pada pilihan raya baru-baru ini.

Laporan Alam Sekitar India (SoE) mendapati pencemaran udara bertanggungjawab ke atas 12.5% kematian di seluruh negara- menggambarkan kegagalan kerajaan dalam menangani isu alam sekitar.

Dilakukan Pusat Sains dan Alam Sekitar (CSE), laporan turut mendapati 85% sumber air di India “tercemar teruk”.

Ia menambah yang kemajuan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negara itu berada pada tahap “membimbangkan”.

Setakat bulan lepas, India hanya mempunyai 280,000 kenderaan elektrik, jauh tersasar daripada sasaran 15-16 juta kenderaan menjelang 2020.

Kadar pembebasan gas rumah hijau India juga naik lebih 20% antara 2010 hingga 2014, dan tapak gas asli dan hidroelektrik berada dalam keadaan “menyedihkan”, kata laporan lagi.

Laporan mendapati tapak tenaga berasaskan gas hanya beroperasi pada kadar 24% daripada kapasiti penuh, manakala tapak hidro tenaga pada 19%.

India juga mencatatkan peningkatan 56% pembuangan sisa industri antara 2009 dan 2016-17, dan jumlah industri mencemar naik 136% antara 2011 hingga 2018.

Tetapi, Perdana Menteri Narendra Modi yang baru-baru ini menang pilihan raya yang isu krisis perubahan iklim dunia jarang sekali disebut, menerusi Twitternya merayu rakyat untuk “hidup harmoni dengan alam sekitar” sempena Hari Alam Sekitar Dunia. – AFP, 7 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen