Ahli Parlimen India dituduh terlibat serang masjid


Sadhvi Pargya Thakur dituduh atas kesalahan keganasan dan subahat jenayah berkaitan serangan di barat India pada 2008 yang menyebabkan enam orang maut dan lebih 100 orang cedera. – Gambar AFP, 7 Jun, 2019.

SEORANG rahib nasionalis Hindu yang terlibat dalam serangan maut di sebuah masjid dihadapkan ke mahkamah hari ini, dua minggu selepas menang kerusi Parlimen dalam pilihan raya India.

Sadhvi Pargya Thakur dituduh atas kesalahan keganasan dan subahat jenayah berkaitan serangan di barat India pada 2008 yang menyebabkan enam orang maut dan lebih 100 orang cedera.

Ahli Parlimen untuk parti Bharatiya Janata (BJP) yang juga parti Perdana Menteri Narendra Modi itu muncul dihadapan mahkamah khas jenayah di Mumbai, kemunculan pertamanya sejak didakwa Oktober lalu.

Thakur, 49, diarahkan hakim supaya hadir sekurang-kurangnya sehari pendengaran setiap minggu. Mahkamah membenarkan dia dikecualikan pada pendengaran Khamis kerana masalah kesihatan.

Polis berkata motosikal miliknya digunakan untuk membawa bahan letupan digunakan dalam serangan di Malegaon, dan dia turut serta dalam mesyuarat penting sebelum serangan berlaku.

Thakur menghabiskan masa sembilan tahun dalam tahanan kerana sistem perundangan India yang lembap sebelum diikat jamin pada 2017.

Dia menang dengan undi kasihan dalam pilihan raya besar India, menang 62% undi untuk kerusi Bhopal.

Peraturan pilihan raya India membenarkan sesiapa untuk bertanding selagi mana tidak disabitkan bersalah.

Thakur hanya menyertai BJP pada April dan mengejutkan banyak pihak apabila dia dinamakan sebagai calon Parlimen bulan seterusnya.

Dia mencetuskan pelbagai kontroversi semasa berkempen, memberitahu wartawan yang pembunuh radikal Hindu yang membunuh hero kemerdekaan Mahatma Gandhi sebagai “patriot”- kenyataan yang dikecam Modi sendiri.

Thakur juga mencetuskan kritikan selepas mendakwa minum air kencing lembu menyembuhkan kansernya dan memperbesar-besarkan manfaat minum susu, mentega dan najis lembu.

Parti pembangkang Kongres yang kalah teruk dalam pilihan raya menggambarkannya sebagai simbol kebangkitan pelampau Hindu di India ditadbir Modi.

BJP seringkali mempertahankannya. Presiden BJP Amit Shah yang kini menteri dalam negeri menyifatkan pertuduhan keganasan terhadap Thakur sebagai “palsu”. – AFP, 7 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen