LEBIH sedozen pengeluar kereta termasuk Ford, General Motors, Toyota, Honda dan Volkswagen secara rasmi meminta Presiden AS Donald Trump untuk tidak melonggarkan batasan pembebasan gas, bagi mengelak perpecahan dalam pasaran kereta, lapor media AS.
Pentadbiran Trump tahun lepas mencadangkan pembatalan standard kecekapan diperkenalkan pentadbiran Barack Obama, mencetuskan amaran tercetus kemelut perundangan dengan California dan negeri lain yang mahukan dasar perlindungan alam sekitar lebih ketat.
Dalam sepucuk surat dihantar kepada White House dan didedahkan oleh New York Times semalam, syarikat tersebut mahukan tolak ansur diwujudkan antara pentadbiran Trump- yang mahu menyokong industri kereta dengan melonggarkan had pembebasan gas- dengan negeri paling ramai penduduk negara itu.
Tindakan melonggarkan perundangan alam sekitar itu boleh menyebabkan California dan berpuluh negeri lain mengheret White House ke mahkamah. Pengeluar bimbang ia boleh memecah belahkan dan menimbulkan masalah kepada pasaran kereta di AS, yang menyebabkan mereka sukar membuat keputusan tentang harga dan jenis kenderaan untuk dijual.
Ia akan menjadi mimpi ngeri kepada pengeluar kereta, yang memberi amaran kepada White House ia boleh “melanjutkan tempoh litigasi dan ketidakstabilan (pasaran)”.
Apabila Trump menjadi presiden, pengeluar menggalakkannya untuk melonggarkan had pembebasan gas dikuatkuasa pentadbiran Obama.
Tetapi, kini mereka bimbang tindakan White House itu boleh melemahkan kedudukan pasaran.
Surat sama turut dihantar kepada gabenor California, menggesa tolak ansur diambil.
White House dan negeri bertelagah tentang pelbagai isu- yang menyentuh tentang krisis perubahan iklim dan alam sekitar terutamanya.
Rundingan untuk mencari kata sepakat antara kedua-dua pihak ditangguhkan pada Februari oleh White House. – AFP, 7 Jun, 2019.
Komen