GOOGLE semalam mendedahkan butiran tentang perkhidmatan penstriman permainan video Stadia untuk 14 buah negara bermula November depan.
Untuk permulaan, Google akan menjual pakej “kelompok edisi pengasas” dengan harga AS$129 (RM536), dengan bayaran bulanan sebanyak AS$9.99. Di Eropah, bayaran adalah sebanyak 129 euro (RM604) dengan 9.99 euro sebulan.
Platform permainan baharu itu bermatlamat menjadi platform permainan ala Netflix membolehkan pemain bermain di sebarang peranti, yang digerakkan oleh “cloud internet”.
Ia dijangka memberi kesan kepada industri permainan dengan membenarkan pengguna tidak lagi menggunakan konsol dan disk atau muat turun permainan.
Pelanggan akan mendapat akses kepada permainan percuma dan boleh membeli beberapa permainan terkemuka.
Permainan percuma pertama adalah Destiny 2 terbita Bungie.
Pengguna juga boleh membeli permainan terkenal seperti Assassin’s Creed Odyssey dan Ghost Recon Breakpoint terbitan Ubisoft.
Stadia akan dilancarkan di Amerika Syarikat, Britain, Belgium, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Norway, Sepanyol dan Sweden untuk permulaan.
CEO Google Sundar Pichai ketika mengumumkan platform permainan itu awal tahun ini berkata inisiatif tersebut adalah “untuk membina platform permainan untuk semua”.
Google berharap Stadia akan menjadi peneraju penstriman permainan seperti Netflix untuk filem dan Spotify untuk muzik, dengan menjadikan permainan setaraf konsol tersedia untuk semua.
Walaupun begitu, masih tidak dapat dipastikan bagaimana Google mampu menganggu industri lumayan itu.
Google juga mula mengeluarkan permainan sendiri dan memikat studio lain menggunakan model berasaskan “cloud”.
Bulan lepas, pesaing Microsoft dan Sont mengumumkan kerjasama untuk menambah baik platform penstriman hiburan mereka tetapi tidak mendedahkan bagaimana ia akan mencabar Stadia. – AFP, 7 Jun, 2019.
Komen