TENTERA lengkap bersenjata yang berkeliaran di ibu negara Sudan pada Khamis, menimbulkan ketakutan kepada penduduk yang bersembunyi di kediaman masing-masing selepas operasi dijalankan bagi memburu penunjuk perasaan.
Pasukan Sokongan Pantas, yang merupakan anggota asal militan Janjaweed di Darfur, dikerahkan ke jalanan menggunakan kenderaan pikap yang dilengkapi mesin gan dan pelancar roket, kata saksi.
“Kami hidup dalam ketakutan kerana tembakan rambang yang dilepaskan,” kata penduduk selatan Khartoum kepada AFP.
Menurutnya, beliau bimbang sekiranya anak-anaknya akan keluar ke jalanan”.
Ketika kecaman antarabangsa kian memuncak, pegawai kementerian kesihatan memberitahu AFP jumlah angka kematian di seluruh negara meningkat kepada 61 orang termasuk 52 yang ditembak menggunakan peluru hidup di Khartoum.
Namun ia menafikan dakwaan doktor bahawa leboh 100 orang dibunuh dalam operasi memburu penunjuk perasaan yang bermula selepas serbuan ke atas mereka yang berhimpun di luar ibu pejabat tentera pada Isnin.
Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan berkata, 40 mayat dikeluarkan dari Sungai Nil, menyebabkan angka kematian meningkat sehingga 108 orang.
Jawatankuasa berkenaan yang juga sebahagian daripada gerakan bantahan itu dan bergantung kepada anggota perubatan di lapangan untuk mendapatkan maklumat dan memberi amaran angka itu mungkin akan meningkat. – AFP, 7 Jun, 2019
Komen