Ibu mangsa tahfiz terbakar mahu semua pihak ambil iktibar


Nabihah Hamid

Mashawani Mohamed Shahid (tengah) yang merupakan ibu kepada salah seorang mangsa kebakaran sekolah tahfiz reda dengan kehilangan anaknya dan meminta semua pihak mengambil iktibar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2017.

IBU tunggal yang kehilangan tiga anak lelakinya dalam kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat lebih seminggu yang lalu mahu semua pihak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

Mashawani Mohamed Shahid, 37, berkata beliau pasrah dan reda atas kejadian yang menimpa dan tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana tiada apa-apa lagi yang boleh mengembalikan anak-anaknya yang sudah pergi.

Malah beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap sesiapa tetapi berharap mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

“Anak saya pun sudah tiada. Kita tidak dapat kembalikan anak-anak saya yang sudah pergi.

“Keputusan (hukuman) untuk mereka saya terima, cuma saya mengharapkan agar diberi hukuman yang setimpal kepada mereka.

“Semua kejadian ini perlu dijadikan iktibar,’ katanya bertemu media di Ampang, Selangor. 

Tujuh suspek kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih ditahan reman untuk siasatan sehingga 29 September ini. Suspek berumur antara 11 dan 18 tahun itu kini disiasat kerana membunuh dan khianat menggunakan api.

Tiga anak lelaki Mashawani adalah antara 23 yang terkorban dalam kejadian pada 14 September lalu. Jenazah Muhammad Syafiq Haikal Sulaiman, 13, Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman,11, dan Muhammad Harris Ikhwan Sulaiman, 10, dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak, Kuala Lumpur bersama lapan jenazah yang lain.

Tiga beradik itu, yang bapanya meninggal dunia sejak tahun 2006, tinggal bersama ibu saudara mereka di Ampang sejak awal tahun ini.

Ditanya wartawan adakah pihak keluarga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan tahfiz berkenaan, Mashawani berkata beliau hanya bersetuju melantik peguam untuk melakukan perbincangan dan bukan untuk tindakan lain.

“Saya juga tidak merancang untuk mengambil tindakan saman sebab saya tidak salahkan sesiapa,” katanya.

Beliau ditemui di rumah kakaknya di Ampang selepas menerima sumbangan yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada wakil Amanah dan DAP. – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen