Kapten kapal terbabit kemalangan di Hungary pernah disiasat 


Bot pelancong Mermaid yang karam selepas berlanggar dengan kapal Viking Sigyn di sungai Danube.– Gambar EPA, 7 Jun, 2019

KAPTEN kapal persiaran sungai Budapest yang terlibat dalam pelanggaran dengan bot pelancong minggu lalu pernah sedang disiasat berhubung satu lagi kemalangan pada April, kata pendakwa raya Hungary.

Angka kematian dalam kemalangan yang berlaku 29 Mei lalu meningkat kepada 19 orang pada Khamis selepas empat lagi mayat dikenal pasti dari bot pelancong Mermaid yang karam selepas berlanggar dengan kapal Viking Sigyn di sungai Danube.

Selepas kemalangan itu, kapten kapal Viking Sigyn berusia 64 tahun dari Ukraine itu ditahan kerana disyaki “membahayakan laluan air yang menyebabkan kematian”.

Media Hungary melaporkan lelaki yang sama, dikenali sebagai Yuriy C., sedang disiasat berhubung satu lagi pelanggaran membabitkan kapal Viking, the Idun, yang membawa muatan bahan kimia berhampiran bandar Terneuzen di Belanda pada 1 April. 

“Beliau dianggap sebagai suspek di Belanda,” kata Pejabat Pendakwa Raya Metropolitan kepada AFP dalam satu kenyataan yang menyatakan maklumat diperolehi daripada agensi kehakiman EU Eurojust, tanpa mengesahkan insiden yang dirujuk oleh mereka. 

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP pada Khamis, Viking berkata: “Kami boleh mengesahkan walaupun kapten kapal Viking Sigyn berada dalam kapal Viking Idun pada 1 April, beliau tidak berkhidmat sebagai kapten ketika insiden itu berlaku.”

“Kami tidak dapat mengulas lanjut kerana kedua-dua kes sedang disiasat,” menurut kenyataan itu. 

Ketika kejadian pelanggaran pada April, kapal Idun membawa 43 anak kapal dan 137 penumpang. Beberapa penumpang dilaporkan cedera. 

Pihak berkuasa Belanda masih menyiasat punca pelanggaran itu. – AFP, 7 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen