SEORANG pemandu kereta api di Taiwan didakwa kerana cuai sehingga menyebabkan 18 orang penumpang maut dalam tragedi kereta api Puyuma Express tergelincir yang disifatkan sebagai yang terburuk di negara itu.
Tragedi itu turut menyebabkan lebih 200 penumpang yang lain cedera.
Mangsa yang terbunuh termasuk lapan ahli keluarga yang baru pulang dari majlis perkahwinan serta tiga pelajar sekolah yang kembali dari program pertukaran pelajar di Korea Selatan.
Pihak pendakwa raya berkata, kelajuan menjadi punca utama kejadian itu yang mana kereta api terbabit berada pada kelajuan 140 kilometer sejam, iaitu dua kali ganda daripada had kelajuan yang ditetapkan sebelum tiba di stesen Xinma.
Tambah pihak berkenaan, pemandu kereta api itu turut menutup sistem perlindungan kereta api automatik (ATP) yang berfungsi untuk memantau kelajuan.
Pemandu terbabit yang hanya dikenali dengan nama You, didakwa memandu tanpa sistem perlindungan itu selama 30 minit sebelum kereta api terbabit tergelincir dari landasan di timur laut wilayah Yilan, kata pihak pendakwa raya.
“Tindakan You menutup sistem ATP melanggar peraturan dan membolehkan beliau memandu melebihi had laju, menyebabkan kematian yang besar dari insiden itu,” katanya.
You didakwa atas kesalahan “cuai sehingga menyebabkan kematian pihak lain” akan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.
Pentadbiran Kereta Api Taiwan (TRA) dalam satu kenyataan berkata, ia menghormati keputusan pihak pendakwa raya dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada penyiasat. – AFP, 7 Jun, 2019
Komen