Jangan pandang ringan isu GST, kata Guan Eng kepada Najib 


Looi Sue-Chern

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri Najib Razak perlu menjawab persoalan rakyat berhubung GST. – Gambar The Malaysian Insight, 25 September, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak tidak boleh memandang ringan kesusahan yang dihadapi rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup dengan memberitahu mereka agar tidak merungut, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sebagai pemimpin negara katanya, Najib perlu menjawab pertanyaan mereka dan bukan mengatakan rakyat suka merungut tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai punca kenaikan harga barangan.

“Hari ini kita lihat pada laporan muka hadapan akhbar bahawa kerajaan persekutuan berkata rakyat tidak bising berhubung GST.

“Kerajaan persekutuan berkata GST adalah bagus untuk negara, dan negara lain mengenakan GST pada kadar yang lebih tinggi. Kita hanya 6%. 

“Adalah tidak elok untuk berkelakuan sebegini. Bila rakyat merungut tentang kehidupan yang semakin sukar - perniagaan semakin mencabar dan kadar gaji semakin tidak mencukupi - mereka meminta rakyat untuk tidak merungut.

“Ini bukan pemimpin rakyat. Mereka adalah pemimpin GST,” kata Lim kepada pemberita di Pulau Pinang, hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu merujuk kepada kenyataan Najib pada perhimpunan delegasi MIC di Kuala Lumpur semalam, yang mana beliau berkata rakyat Malaysia tidak suka membayar cukai dan hanya suka kepada makanan dan cuti umum. Beliau turut membandingkan GST Malaysia dengan India iaitu 28%.

“GST di India adalah pada kadar 28%, tolong ingat. Sementara di Malaysia, ada rungutan dengan kenaikan GST 6%. Kemarahan itu ditujukan kepada kerajaan,” kata Najib.

Perdana menteri itu juga berkata, peniaga yang bertindak menaikkan harga barangan, tetapi kerajaan yang dipersalahkan kerana kos sara hidup yang tinggi. 

GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015. Ia mengutip RM39 bilion tahun lalu dan RM41.2 bilion tahun ini. 

Lim berkata Najib sepatutnya belajar daripada negeri lain yang memperkenalkan GST pada kadar rendah sebelum menaikkan secara beransur-ansur.

Pakatan pembangkang Pakatan Harapan berikrar untuk memansuhkan GST sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.  – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen