PAS Pulau Pinang melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung isu banjir kilat yang melanda negeri itu baru-baru ini.
Pengerusi jawatankuasa alam sekitarnya Saiful Lizan Mohd Yusof berkata mereka membuat laporan kepada Kaukus Perlindungan Alam Sekitar dan Anti Rasuah.
“Kami minta kaukus untuk menyiasat banjir kilat yang berlaku di Pulau Pinang sekiranya terdapat sebarang salah laku.
“Kami memberikan laporan kepada SPRM berkenaan banjir itu, untuk menunjukkan bagaimana keadaannya sebelum ini dan sekarang,” katanya kepada wartawan di perkarangan ibu pejabat SPRM hari ini sebelum membuat laporan.
Dua hari lalu, rakan sejawatnya Yacoob Omar, daripada biro tanah PAS Pulau Pinang, membuat laporan polis berhubung banjir itu dan menggesa polis menyiasat sama ada berlaku salah guna kuasa terhadap kelulusan kerajaan negeri dalam projek pembangunan.
PAS Pulau Pinang mendakwa bencana banjir kilat di Pulau Pinang berpunca daripada isu pembangunan dan alam sekitar.
Negeri itu dilanda banjir kilat pada 15 September dan minggu lalu.
Kerajaan negeri berkata banjiir pada 15 September berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa, iaitu sehingga 270mm, yang dibawa oleh Taufan Doksuri.
Kerajaan negeri turut menafikan tuduhan mereka mengabaikan pengairan banjir, kerana membelanjakan RM405 juta untuk projek berkenaan di negeri itu. – 25 September, 2017.
Komen