PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menggerakkan beberapa kakitangannya dari Sudan, kata seorang jurucakap pada Rabu, ketika angka kematian akibat tindakan keras terhadap penunjuk perasaan melonjak kepada lebih 100 orang.
“Kami sedang memindahkan kakitangan bagi program bukan kritikal PBB, sementara semua operasi PBB di Sudan diteruskan,” kata jurucakap PBB Eri Kaneko.
Tiada butiran diberikan kepada bilangan kakitangan yang meninggalkan Khartoum, dengan kehadiran PBB yang besar sebanyak 27 entiti, kebanyakan agensi bantuan badan dunia itu.
PBB juga menjalankan misi pengaman di Darfur dengan Kesatuan Afrika bersama kira-kira 7,200 pasukan dan polis dikerahkan.
Sudan berdepan kekacauan sejak pasukan keselamatan pada Isnin melakukan tindakan secara ganas bagi meleraikan penunjuk perasaan yang menuntut pengakhiran pentadbiran tentera.
Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan yang hampir dengan gerakan protes pada Rabu berkata sekurang-kurangnya 101 orang terbunuh dalam tindakan keras itu.
Seramai 40 mayat ditemui di Sungai Nil, kata mereka.
Majlis tentera memerintah negara itu sejak pemecatan Presiden Omar al-Bashir pada 11 April, berikutan berbulan protes terhadap pemerintahan beliau selama tiga dekad.
Pegawai pemerintah tentera Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mengumumkan pada Selasa yang beliau membatalkan rancangan bagi tempoh peralihan selama tiga tahun dan akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh sembilan bulan.
Beberapa kuasa Barat memberi amaran bahawa pilihan raya akan menghancurkan harapan bagi peralihan demokrasi di Sudan dan menggesa rundingan. – AFP, 6 Jun, 2019.
Komen