BAGAIMANA Kesatuan Eropah (EU) sebagai satu entiti pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar, namun mengisytiharkan bahawa ia kini menjadi musuh perang perdagangan dengan Malaysia?
Undang-undang EU yang dipinda berhubung tenaga yang boleh diperbaharui telah menjadikan Malaysia dan Indonesia kini berhempas pulas untuk menangani apa yang disebut sebagai undang-undang yang tidak adil dan merupakan satu diskriminasi.
Pindaan itu diluluskan ketika EU sedang berdepan pilihan raya untuk parlimen serantau, hasil pilihan raya itu menyaksikan ahli politik Parti Hijau dipilih dengan angka anggota yang ramai.
Perkembangan di Eropah tersebut menimbulkan persoalan adakah minyak sawit Malaysia masih mempunyai masa depan dalam pasaran kedua terbesarnya, yang menyumbang kira-kira 6% daripada pengeluaran ekonomi Malaysia atau KDNK.
Pada tahun 2017, EU mengimport kira-kira RM11 bilion minyak sawit, antara jumlah import terbesar untuk rantau tersebut.
Kira-kira 1 juta rakyat Malaysia dalam 650,000 perusahaan kecil pertanian swasta bergantung kepada hasil tanaman. Di samping itu, lebih daripada 112,000 keluarga peneroka di penempatan Felda juga bergantung kepada minyak sawit.
Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu EU (EU RED II), yang bakal berkuatkuasa pada bulan Jun 2021, memiliki kriteria yang lebih ketat bagi bahan bakar bio yang diimportnya.
Mengikut data EU, kira-kira 40% daripada semua minyak sawit yang diimport ke rantau ini digunakan untuk bahan bakar berasaskan bio.
Dengan mengambil kira semua ini, bagaimanakah Malaysia dan negara-negara penghasil minyak sawit yang lain terjejas?
1) Apakah hubungan antara pilihan raya parlimen EU dengan undang-undang ini?
Pada asasnya, terdapat lebih banyak kesedaran mengenai perubahan iklim dan isu-isu kelestarian persekitaran di EU dari sebelum ini, dan hal ini wujud apabila rakyat EU memilih kumpulan itu dalam parlimen. Warga EU, di mana-mana negara yang menganggotai kesatuan itu, boleh mengundi pembuat dasar untuk mewakili mereka dalam parlimen serantau.
Menurut wakil EU ke Malaysia Maria Castillo Fernandez, setiap undang-undang EU yang mentadbir negara anggotanya, termasuk RED II, harus diluluskan oleh parlimen EU. Pada asasnya, setiap undang-undang EU adalah cerminan kemahuan warga atau rakyat EU.
“Seluruh proses untuk mengetengahkan undang-undang melibatkan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti pengeluar minyak sawit, NGO, saintis dan pengeluar minyak masak lain,” kata Fernandez dalam satu temu bual.
“Ia perlu diluluskan oleh kedua-dua majlis menteri EU dan parlimen EU. Ini bukan undang-undang yang diluluskan di dalam bilik gelap oleh sekumpulan ahli politik,” katanya lagi
Berikutan pilihan raya yang diadakan, EU akan memperolehi sidang parlimen baru yang dianggotai lebih ramai ahli parlimen yang mahu agenda alam sekitar lebih agresif diketengahkan.
“Terdapat kesedaran tentang alam sekitar dan mengapa ahli politik tidak boleh buat sesuka hati,” kata Fernandez mengenai keputusan pilihan raya parlimen EU.
“Kami akan mempunyai sebuah parlimen yang mempunyai lebih banyak wakil parti hijau dan kita akan dapat lihat pada masa depan bahawa alam sekitar, perubahan iklim akan semakin banyak dimasukkan dalam dasar-dasar Eropah dan dalam pendekatan kami terhadap negara-negara lain.
“Orang Eropah mahu hal ini. Ini akan menjadi isu penting bagi Malaysia dan negara-negara lain kerana parlimen EU akan memberi tumpuan lebih kepada isu-isu tersebut. “
2) Bagaimana minyak sawit mendapat reputasi buruk di Eropah?
Ironinya, Eropah adalah rantau yang bertanggungjawab merangsang industri minyak sawit global secara besar-besaran.
Apabila ia mula diperkenalkan pada tahun 2009, undang-undang RED bertujuan untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Eropah sebagai sebahagian daripada perjuangannya berikutan pengeluaran gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim.
Penggunaan bahan bakar berasaskan bio yang boleh diperbaharui, dan bahan bakar berasaskan tumbuhan di sektor pengangkutan turut dipertingkat, dan ini termasuk bio-diesel yang diperbuat daripada minyak sawit serta kacang soya dan jagung.
Malahan, insentif atau subsidi kewangan diberikan untuk menggalakkan pengguna Eropah menggunakan kereta yang menggunakan bio diesel, kata Fernandez.
Memandangkan permintaan terhadap bio diesel berasaskan minyak kelapa sawit meningkat, ia juga membawa kepada perkembangan luas ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia. Jutaan hektar hutan hujan yang subur ditebang untuk penanaman minyak kelapa sawit.
Dianggarkan bahawa pada tahun 2015, Indonesia menjadi penghasil GHG keempat terbesar di dunia akibat kebakaran sengaja dilakukan bagi menratakan hutan dara bagi tujuan menanam kelapa sawit.
Perkembangan ini membawa kepada RED yang dipinda tahun ini, ditukar kepada RED II.
Ia adalah susulan kesedaran bahawa peningkatan penggunaan bahan bakar bio telah gagal membendung pelepasan gas rumah hijau, kerana penebangan hutan dan aktiviti meratakan tanah juga bertanggungjawab melepaskan karbon ke lapisan atmosfera. – 3 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen