PEJABAT Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) melakar kejayaan besar apabila merampas 1.49 tan ‘ice’ (crystal methamphetamine) dan 91 kg ketamin di Pathum Thani, utara Bangkok, semalam.
Setiausaha Agung ONCB Niyom Termsrisuk berkata polis menahan seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan menemui 100kg ice yang dibungkus dan dilabelkan sebagai daun teh kering serta 91kg ketamin di dalam kereta suspek berhampiran gudang di Pathum Thani pada 2 pagi (waktu tempatan).
Pemeriksaan yang dilakukan di gudang, tersebut menemukan mereka dengan sebuah lori yang telah diubah suai yang mempunyai ruang rahsia untuk menyimpan dadah.
“Polis menemukan 1.39 tan ice yang dibungkus dan dilabel sebagai daun teh di dalam petak tersembunyi,” katanya pada sidang media hari ini.
Niyom berkata sindiket dadah itu dipercayai menyewa gudang berkenaan untuk menyimpan dadah tersebut sebelum menyeludup bahan terlarang berkenaan ke destinasi yang ditetapkan.
Susulan maklumat awam, pihak berkuasa melakukan pemantauan ke atas sindiket itu untuk beberapa ketika sebelum melakukan tangkapan dan rampasan semalam, katanya.
“Siasatan awal mendedahkan dadah itu untuk ditransit ke negara jiran sebelum diseludup ke pasaran antarabangsa,” katanya. – Bernama, 5 Jun, 2019.
Komen