Umat Islam Selatan Thailand sambut lebaran penuh sederhana


Suasana di luar masjid meriah apabila umat Islam kelihatan berpelukan mesra dan bersalaman selepas solat sunat Aidilfitri. – Gambar AFP, 5 Jun, 2019.

UMAT Islam di selatan Thailand hari ini menyambut 1 Syawal dalam suasana meriah dan penuh kesederhanaan.

Walaupun keadaan di wilayah selatan Thailand - Pattani, Yala dan Narathiwat masih bergolak khususnya 10 hari terakhir Ramadan namun umat Islam menyambut hari lebaran dalam kesyukuran.

Lebih 5,000 umat Islam membanjiri Masjid Jamek Pattani di sini untuk sembahyang sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga dan saudara mara termasuk rakyat Malaysia yang menziarahi waris dan keluarga terdekat di wilayah itu.

Masjid dan surau turut dihiasi dengan pintu terbang dan lampu bagi memeriahkan sambutan 1 Syawal.

Suasana di luar masjid meriah apabila umat Islam kelihatan berpelukan mesra dan bersalaman selepas solat sunat Aidilfitri.

Selepas selesai solat sunat, ramai mengambil peluang untuk menziarahi kubur kaum keluarga masing-masing pada pagi lebaran.

Selain itu, mereka turut menziarahi dan berkunjung ke rumah saudara mara sempena Syawal ini. 

Pada bulan Ramadan tahun ini, wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduk Muslim bergolak apabila beberapa insiden letupan dan berbalas tembakan berlaku di ketiga-tiga wilayah itu, antaranya insiden letupan bom di pasar Ramadan di Pattani yang menyebabkan dua maut dan 14 lagi cedera dalam kejadian itu. 

Sementara itu, di Bangkok, warga Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Thailand turut mengadakan majlis ringkas sempena sambutan Aidilfitri untuk meraikan pegawai dan anggota keluarga di kedutaan.

Pelbagai jenis juadah hari raya yang dimasak warga kedutaan termasuk rendang, lemang, dan laksa disaljikan. 

Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel bersama isteri, Datin Catherina Cherian Samuel hadir pada majlis itu dah turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak warga kedutaan. – Bernama, 5 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen