SELERA biskut raya masyarakat kini berubah mengikut zaman, tidak lagi terhad memilih kuih raya tradisional seperti batang buruk, putu kacang atau kuih buah rotan untuk sajian tetamu pada Aidilfitri.
Salah satu juadah raya yang makin mendapat perhatian ialah biskut unik atau ‘fancy cookies’ dengan hiasan eksklusif mengikut selera pelanggan, digelar juga dalam pasaran sebagai biskut hispter.
Pengusaha biskut raya hipster, Wiera Abdullah, 35, berkata pihaknya mendapat tempahan hampir 50 set yang bertemakan hari raya setiap tahun.
“Permintaan bergantung pada cita rasa pelanggan dari segi bentuk dan warna. Harga bergantung pada reka bentuk.
“Contohnya, tema kuih raya balik kampung. Kita akan buat design berkaitan hari raya, baju raya, ketupat, kuih raya dan ia seolah-olah pengganti kad raya yang boleh bagi kepada orang tersayang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, biskut eksklusif yang mempunyai perisa vanila dan coklat ini turut menjadi pilihan kerana tahan lama serta sesuai dijadikan cenderahati.
“Macam tahun lepas ada orang tempah untuk syarikat korporat bagi pada pelanggan. Sekarang orang suka yang cantik dan sedap. Jadi alhamdulillah, ramai yang tempah berulang kali.

“Saya memenuhi permintaan mereka yang hendak ikut peredaran zaman. Selagi kita boleh buat kita akan buat untuk mereka,” kata bekas pegawai bank, yang mula mengusahakan perniagaan ini dua tahun lalu.
Pengusaha kuih bangkit keju, Normadihah Ibrahim, 35, pula berkata kuih raya kini dimodenkan untuk mendapat pelanggan yang lebih luas.
Memulakan perniagaannya sewaktu musim perayaan dua tahun lalu, Madihah berkata kuih berperisa keju ada pasaran yang besar dan lebih digemari pelanggan.
“Sekarang ini kita inovasikan bangkit cheese untuk memenuhi citarasa golongan muda zaman kini.
“Ada yang sebelum ini pelanggan kurang minat dengan bangkit tradisional tetapi selepas rasa yang cheese ini, mereka boleh terima.
“Permintaan terhadapnya meluas kepada peringkat umur malah boleh tarik minat bukan Melayu,” katanya lagi.
Biskut yang dihasilkan di Batu Pahat, Johor itu kini dipasarkan di negeri Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Alhamdulillah, lebih 2,000 balang telah terjual dan kini kita mula cuba ke pasaran Singapura pula,” katanya lagi. – 5 Jun, 2019.
Komen