MULAI Ogos 2013, Jalan Raja Bot di Chow Kit mula menjadi tumpuan anak muda pengusaha bundle dan vintaj untuk berniaga. Kaki lima jalan tar di belakang Gurdwara Sikh Tat Khalsa Diwan menjadi lokasi peniagaan secara kecil-kecilan.
Pasar bundle ini dibuka setiap Jumaat dan Sabtu malam. Satu aspirasi peniaga bundle di sekitar Kuala Lumpur untuk menandingi konsep JJ Green Night Market di Bangkok.
JJ Green Night Market wujud pada skala strategik sejak 2012. Pasar bundle di Kamphaeng Road ini menyediakan 15,000 gerai dengan hampir 500 yang bergaya retro vintaj.
Walaupun baru tujuh tahun wujud, pasar retro ini terkenal kerana dekorasi yang unik serta barangan jualan yang memorikal.
JJ Green Night Market dibuka tiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Bermula 5 petang hingga dini hari. Ia stesen bagi peminat fesyen vintaj dan koleksi retro. Selain pakaian, terdapat rekod, kaset dan CD lama. Puluhan gerai lain menjual mainan antik, lukisan klasik dan aksesori basikal serta motorsikal. Barangan lama menjadi tarikan utama.
JJ Green Night Market satu aspirasi.
“Kami mahu KL juga memiliki pasar bundle setaraf JJ Green Market,” kata Shahrizal Mat Zin.
Shahrizal adalah pengasas Garasi Republic, antara pendokong kuat usaha mewujudkan Pasar Bundle.
“Kalau di Bangkok, festival vintaj menjadi kalender rasmi tiap April dan disertai kelektor dunia terutama dari Tokyo dan Los Angeles,” katanya.
Itu aspirasi peniaga kecil Melayu di Pasar Bundle Jalan Raja Bot. Mereka mengimpikan sebuah lokasi malam yang khas untuk barangan vintaj dan berjenama terpakai. Diklasifikasikan sebagai bundle kerana dipasarkan semula sebagai koleksi terhad.
Pasar bundle Jalan Raja Bot ini diharapkan menjadi titik ikonik baharu Kuala Lumpur pada waktu malam. Melupuskan prasangka pelacuran dan sarang dadah yang selama ini sinonim dengan imej Chow Kit. Era gelap yang sudah lama berlalu.

Chow Kit harus diberi peluang memiliki identiti baharu. Pasar Bundle yang setara dengan JJ Green Night Market. Pasar yang dikunjungi lebih 25 ribu pengunjung setiap malam.
Suasana pasar bundle dan vintaj mampu menjadikan Chow Kit kembali ‘happening’ dan ‘hidup’. Sekali gus menyemarakkan semula minat Bumiputera berniaga setelah hampir 80% tapak perniagaan di sekitar kawasan itu dikuasai warga asing.
Ubah Jadi JJ Green Market
JJ Green Market di Chatucak menjadi antara pasar vintaj terkenal di dunia dan menerima pelancong dari Jepun, Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia yang dilanda demam retro.
Walaupun hanya berkelas pasar malam, JJ Green Night Market punya reputasi antarabangsa. Justeru, pentadbir kota Bangkok tahu nilai pasar malam ini di mata dunia.
Binaan stall dan tapak peniagaan tersusun kemas dan disediakan 600 lot pangkir kenderaan. Dekorasi pakaian, kasut, topi, beg, topi keledar lama, motorsikal dan basikal antik, nampak gah dan unik. Sesuai dengan matlamat menjadikan dunia malam hari di Bangkok meriah dengan konsep retro.
Vintaj merujuk pada keluaran fesyen yang dihasilkan 25 tahun lalu dan kini dijual semula sebagai koleksi terhad.
Di Pasar Bundle Jalan Raja Bot yang terperuk dan dicemari bau lori ayam keluar masuk pada malam hari, hampir seratus peniaga Melayu nampak terceruk. Hilang dalam panorama gelap akibat lampu jalan yang malap dan selalu rosak.

Pasar Bundle ini benar-benar daif dan peniaga terpaksa bersengkang mata mencari rezeki dalam keadaan yang samar, kotor, busuk dan berserabut.
Lampu jalan yang gelap dan ‘mood yang mati’ menambahkan lagi warna lara pasar ini. Apa lagi, barangan jualan hanya berlapik plastik di atas jalan tar.
Walaupun dibuka dua kali seminggu bermula jam 10.00 malam hingga 4.00 pagi, Pasar Bundle ini sudah bertahan hampir enam tahun.
Selama tempoh itu juga, peniaga bundle mengimpikan untuk memiliki sebuah JJ Green Night Market ala Bangkok. Usaha ini tidak pernah padam.
Masalah utama ialah promosi. Kedudukan Pasar Bundle yang terselit dalam Jalan Raja Bot membuatkan ia terpinggir. Hanya 300 ke 500 pengunjung muncul setiap malam.
Pendapatan antara RM100 hingga RM300 semalam sudah dianggap baik bagi peniaga. Suasana daif menjadi punca kesukaran menarik pengunjung terutama pelancong.
Bagi peniaga, untuk mempopularkan Pasar Bundle ini, jualan produk terpakai yang berharga antara RM10 hingga RM100 satu keutamaan. Baju, seluar, beg, kasut dan kaca mata lama antara produk utama.
“Ada masa orang tidak ramai dan hanya wajah-wajah sama saban minggu,” kata Anuar Zaki.
Anuar antara generasi 2013 yang menjalankan perniagaan ketika Pasar Bundle ini bermula. Ketika itu hanya 20 peniaga menjalankan aktiviti.
“Setelah enam tahun, keadaan jalan masih gelap dan suram serta tiada promosi. Kami peniaga kecil dan tidak mampu menyediakan modal promosi,” katanya.
Antara cara promosi yang dilakukan peniaga hanya sekadar mewar-warkan pelbagai produk dan aktiviti Pasar Bundle melalui perkongsian media sosial. Namun, impaknya sangat perlahan. Hantaran di Facebook dan Instagram hanya berlegar di sekitar peminat bundle.
“Kami tidak diberikan lesen. Sedangkan kami berhajat menjadikan Jalan Raja Bot sebagai lokasi prestij Pasar Bundle,” kata Anuar Zaki. – 5 Jun, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen