RAKYAT Malaysia harus memandang pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia secara positif walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman penguatkuasaan sebelum ini, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan.
Walaupun mempunyai kekurangan kemahiran dalam perkara itu, Latheefa yang kini memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM adalah merupakan seorang peguam cemerlang, kata beliau lagi.
Pengumuman pelantikan beliau dilakukan Pejabat Perdana Menteri semalam dalam sebuah kenyataan.
“Beliau harus diberikan peluang. Dia betul-betu arif tentang undang-undang. Jadi, beri beliau peluang buktikan diri.”
Pelantikan Latheefa tersebut sebelum ini dipersoalkan ramai pihak kerana pelantikannya tidak selari dengan manifesto Pakatan Harapan di samping tidak melalui jawatankuasa pilihan parlimen.
Bahkan ada juga yang mempersoalkan latar belakang beliau di samping mempersoalkan adakah beliau memiliki pengalaman untuk menanggung tanggungjawab yang besar tersebut.
Muhammad berkata pelantikan itu akan menjadi cabaran besar buat Latheefa.
“Ia akan jadi cabaran besar buat beliau. Bagaimana dia dapat uruskan suruhanjaya tersebut.
“Beliau harus cepat belajar dan perlu mendapatkan kepercayaan pegawai-pegawai beliau baik di peringkat pusat mahu pun di peringkat negeri bagi menerapkan agenda anti-rasuah beliau,” kata Muhammad kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, pihak SPRM dilaporkan mengalu-alukan ketua SPRM yang baru sekaligus wanita pertama yang menduduki jawatan penting tersebut. Mereka turut menyatakan janji untuk mendukung usaha Latheefa.
Latheefa, 46, menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon untuk dipendekkan kontrak daripada tempoh penuh yang dijadualkan berakhir pada 17 Mei tahun depan.
Muhammad berkata ketua SPRM sebelum ini pernah dilucutkan jawatan dan kemudian dilantik semula.
“Within a year, beliau buat kerja cukup bagus dengan membuka semula kes-kes besar dan ramai yang menerima pertuduhan.
“Jadi, beliau dah buat kerja dia dan hari ini SPRM sangat dihormati berbanding dua tahun lalu.”
Shukri dilantik sebagai ketua SPRM pada 18 Mei tahun lalu.
Beliau berkhidmat dalam suruhanjaya itu sejak 32 lalu sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016 sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi).
Beliaui kemudian dilantik semula oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menerajui SPRM selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa di peringkat persekutuan.
Muhammad berkata semasa pentadbiran Barisan Nasional, rakyat tahap kepercayaan rakyat terhadap agensi tersebut sangat rendah, namun pada hari ini tahap kepercayaan rakyat adalah tinggi terhadap agensi anti-rasuah tersebut oleh kerana usaha-usaha yang dilakukan Shukri.
“Dulu kita ada banyak kes besar tapi kemudian digugurkan.
“Dengan Latheefa menerajuinya, adalah sangat penting kes-kes berprofil tinggi dapat dimenangi agensi tersebut.
“Ini kerana persepsi orang ramai akan berkait rapat dengan cara ketua baharu menyelesaikan kes walaupun kes-kes sebelum beliau dilantik,” tambahnya lagi.
Muhammad berharap Latheefa cepat belajar mengenai kerja baharunya itu dan bawa SPRM ke peringkat yang lebih tinggi dari apa yang dikecapnya hari ini.
“Kadar sabitan kes sangat penting. Tak ada guna ada 100 kes tapi kalah 90 daripadanya.” – 5 Jun, 2019.
Komen