HANYA empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang masih beroperasi daripada keseluruhan 45 unit yang ada di seluruh negara selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil alih operasinya sejak September tahun lalu, dedah sumber di Putrajaya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, 41 kamera di jalan raya dan lebuh raya, yang dulunya dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), tidak berfungsi kerana tidak diselenggara.
Maklumat ini bagaimanapun tidak diangkat oleh JPJ ke pengetahuan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, bimbang ia akan mencetuskan kemarahan beliau, kata sumber.
“Kamera itu hanya menjadi ‘gajah putih’ selepas JPJ mengambil alih operasi AWAS sejak 1 September tahun lalu.
“Ini kerana JPJ tiada kepakaran dan bajet untuk selenggara kamera berkenaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
AWAS ialah sistem penguatkuasaan lalu lintas yang menggabungkan kamera pemantau AES dengan sistem mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara), yang bermula sejak April 2017.
Sumber Kementerian Pengangkutan berkata, kamera yang masih berfungsi adalah di KM 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan tiga lagi di Lebuhraya Pantai Timur.
Kamera lain yang tidak boleh berfungsi masih ada di tempat asalnya tetapi tidak boleh merakamkan gambar, tambah sumber.
The Malaysian Insight juga difahamkan ada kamera yang sudah lapan bulan rosak selepas dilanggar treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Ayer Keroh, Melaka.
“Masalah ini juga tidak dimaklumkan kepada Menteri Pengangkutan kerana risau beliau mengamuk,” kata sumber.
Pada Mac lalu, Loke memberitahu Dewan Rakyat daripada 45 kamera yang ada, 29 adalah kamera peraturan had laju dan 16 kamera peraturan lampu isyarat.
JPJ mengambil alih sepenuhnya operasi, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan sistem berkenaan selepas perjanjian konsesi sebelum ini tamat pada 31 Ogos 2018.
Pada 17 Ogos sebelumnya, kerajaan membatalkan semua saman yang belum berbayar yang dikeluarkan di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Saman bernilai RM435 juta itu dibatalkan kerana penjanjian berat sebelah antara kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan dua syarikat konsesi pengendali sistem, Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn.
Menurut Loke, di bawah perjanjian itu kerajaan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman sebaliknya ia dibayar sepenuhnya kepada dua syarikat konsesi tersebut.
Sumber juga mendedahkan cadangan kerajaan memasang kamera AWAS mudah alih di lokasi panas masih tergendala sampai sekarang juga kerana masalah penyelenggaraan.
Menurutnya, ada 115 kamera jenis mudah alih di stor pejabat syarikat milik penuh kerajaan yang diperbadankan, AES Solutions Sdn Bhd (AES Solutions) di Subang.
“Semua alat ini masih berada di stor kerana tidak dapat dinilai dan diselenggara,” katanya.
Berdasarkan maklumat di laman web rasmi JPJ, operasi kamera mudah alih adalah bagi kawasan-kawasan kemalangan yang tiada infrastruktur (bekalan elektrik, liputan komunikasi dan sebagainya) untuk dipasang kamera statik.
Pelaksanaan sistem kamera pemantau ini pernah dibantah oleh pemimpin Pakatan Harapan, yang bagaimanapun mengubah pendirian mereka selepas jadi kerajaan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menjelaskan pendirian mereka berubah kerana bantahan sebelum ini adalah atas penswastaan sistem yang memberi untung kepada syarikat konsesi.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, semua saman yang dikutip akan disalur kembali kepada kerajaan melalui JPJ dan ia tidak merugikan negara. – 5 Jun, 2019.
Komen