MENYEDARI bantuan kewangan semata-mata tidak akan mengeluarkan seseorang daripada kitaran ganas kemiskinan, sebuah organisasi bukan keuntungan mengadakan projek pilot pembangunan dapur komuniti khas untuk wanita kumpulan B40.
Wanita berkenaan diajar kemahiran membuat kek dan biskut, serta kemahiran menguruskan perniagaan hasil kemahiran mereka.
Idea itu diasaskan oleh sebuah organisasi bukan keuntungan, Women of Will (WoW) yang memulakan projek pertamanya di flat PPR Batu Muda, Jalan Ipoh di ibu kota baru-baru ini.
Pengarah Projek Dapur Komuniti WoW Susheela Sabaratnam berkata WoW membuka dapur komunitinya yang pertama di flat PPR Batu Muda.
Di sini, wanita penduduk flat tersebut boleh mendaftar untuk menerima latihan membuat kes dan biskut, resepi, pengurusan dapur dan pemasaran produk.
“Projek pilot kami bertujuan untuk melatih wanita membuat kek dan biskut dan menjual produk mereka secara komersial,” kata Susheela kepada The Malaysian Insight.
PPR Batu Muda mempunyai tujuh blok apartmen 15 tingkat dengan 20 unit rumah setiap tingkat. Keseluruhannya, hampir 10,000 orang tinggal di sana.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh melancarkan dapur WoW itu bulan lepas.

Projek dapur komuniti itu dibantu oleh geran Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional adalah projek terbaru WoW untuk wanita B40.
Diasaskan pada 2009 dengan nama TECH Outreach Malaysia sebelum menukar namanya kepada WoW beberapa tahun lepas, badan bukan keuntungan itu memberi tumpuan khas kepada wanita kumpulan B40- iaitu isi rumah dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

Susheela berkata, itu adalah kriteria kepada kumpulan pertama 10 wanita yang terlibat.
Setiap wanita dibayar gaji jam, termasuklah ketika latihan dan dibenarkan bekerja di dapur komuniti mengikut jadual harian mereka.
“Kami mahu ia flesible supaya mereka boleh pilih berapa jam untuk bekerja sehari,” katanya lagi, menambah kebanyakan wanita terlibat mempunyai pekerjaan lain atau anak-anak yang masih memerlukan perhatian utama.
Susheela merupakan bekas pengurus sumber manusia kumpulan hotel Impiana Group, berkata latihan diberikan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka tetapi juga memberikan kemahiran kepada wanita terbabit untuk membina kehidupan lebih baik.
“Kami tak hanya ajar mereka buat kuih tetapi kami ajar mereka aspek pengendalian makanan, kawalan inventori, bagaimana membuat kuih yang lebih sihat dan bagaimana hendak pasarkan produk mereka.
“WoW membawa chef terlatih untuk mengajar mereka dalam aspek komersial dan selepas itu kami pastikan semua mereka divaksin (untuk pengendalian makanan),” kata Susheela lagi.

Walaupun, dapur itu baharu dibuka Mac lalu, ia sudah menerima tempahan untuk 800 buah hamper musim raya.
“Kami sudah membuah hampir 22,500 kuih setakat ini,” kata Susheela lagi.
“Selepas itu, kami haram untuk terus membekalkan syarikat dengan kuih sihat untuk dapur pejabat mereka.”

Untuk masa depan, Susheela berkata dapur komuniti itu juga boleh digunakan penduduk flat.
“Kita boleh ajar lebih ramai orang untuk membuat kuih, malah boleh juga menganjurkan parti hari lahir untuk kanak-kanak di sini.”
Selain dapur komuniti, WoW juga memperkenalkan skim pembiayaan mikro kredit untuk wanita di 15 komuniti seluruh Lembah Klang dan Sabah.
Hampir 80% keuntungan dijana dapur komuniti disalurkan kembali kepada komuniti, kata Susheela lagi. – 5 Jun, 2019.
Komen