PUTRAJAYA perlu menjelaskan mengapa pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru tidak dibincang melalui jawatankuasa pilihan parlimen, kata Transparency International Malaysia (TI-M).
Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, kemungkinan besar pelantikan tersebut adalah demi mengisi kekosongan dengan segera selepas Mohd Shukri Abdull meletak jawatan sebelum tamat tempoh kontrak.
“Dalam sesetengah keadaan atau disebabkan wujud keperluan terdesak, perdana menteri boleh ambil keputusan dalam perlantikan tersebut.
“Sebab itulah kepimpinan Pakatan Harapan perlu beri penjelasan. Bukan hanya jawatankuasa (pilihan parlimen) sahaja yang bimbang, tetapi orang ramai juga perlu tahu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai pelantikan jawatan utama dalam sektor awam William Leong berkata sebelum ini bahawa pelantikan Latheefa tidak melalui jawatankuasa tersebut.
Leong berkata beliau terkejut dengan berita yang diumumkan hari ini oleh Jabatan Perdana Menteri, kerana ia tidak selari dengan manifesto Pakatan Harapan.
Muhammad berkata bahawa jawatankuasa itu sepatutnya diberikan senarai calon untuk dibincangkan sebelum membuat cadangan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan. Perdana Menteri kemudian akan memberi nasihat kepada Agong mengenai perkara itu, selaras dengan perlembagaan persekutuan.
“PH membuat semua janji (semasa Pilihan Raya Umum ke-14) dan kini mereka nampaknya seperti mundur semula. Keadaan ini perlu dijelaskan.
“Dalam kes ini jawatankuasa itu tidak tahu langsung mengenai pelantikan itu, maka kerajaan PH perlu fikir banyak penjelasan untuk diterangkan.
“Orang ramai ingin tahu mengapa ini (janji manifesto) tidak dipenuhi?”
Muhammad juga turut mengatakan bahawa ia bukan kesalahan Latheefa dan beliau melakukan perkara yang betul dengan meletakkan jawatan dari semua jawatan PKR, termasuk sebagai anggota parti.
“Sesiapa yang memegang jawatan ini tidak boleh menjadi ahli mana-mana pihak kerana mereka harus bersikap neutral dan lebih tinggi daripada politik,” kata Muhammad. – 4 Jun, 2019.
Komen