Kes baharu virus Nipah di selatan India


Virus Nipah merebak dari tubuh haiwan ke tubuh manusia atau melalui makanan yang tercemar. Kelawar buah-buahan pula dikenal pasti sebagai pembawa virus itu secara semulajadi. – Gambar AFP, 4 June, 2019.

SEORANG pelajar India dijangkiti virus yang membunuh sekurang-kurangnya 17 orang di selatan Kerala tahun lalu, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa.

Virus Nipah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bersama-sama Ebola dan Zika, sebagai salah satu daripada lapan penyakit utama yang boleh menyebabkan wabak global.

Pelajar, 23, sedang menjalani rawatan demam panas dan kini dilaporkan  stabil, kata Menteri Kesihatan Kerala, K.K. Shailaja kepada pemberita.

Hampir 90 orang yang bersentuhan dengannya secara langsung kini di bawah pemerhatian, termasuk dua orang jururawat yang merawat lelaki itu pada awal pemeriksaan dan seorang turut dipindahkan ke wad pengasingan.

Virus Nipah merebak dari tubuh haiwan ke tubuh manusia atau melalui makanan yang tercemar. Kelawar buah-buahan pula dikenal pasti sebagai pembawa virus itu secara semulajadi.

Virus tersebut turut dikaitkan dengan penyakit pernafasan, dan sehingga kini masih tiada vaksin ditemui. Gejala awal Nipah termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, pening dan mual.

Pihak berkuasa di Kerala menggesa orang ramai supaya tetap tenang, dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah wabak tersebut ketika pihak kerajaan persekutuan menghantar pasukan doktor dan ubat ke kawasan tersebut.

Mei lalu sekurang-kurangnya 17 orang mati selepas dijangkiti Nipah di beberapa bandar di Kerala. Wabak itu diumumkan lebih sebulan kemudian.

Antara korban termasuk seorang jururawat yang merawat pesakit yang dijangkiti di hospital. – AFP, 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen