Keluarga makin mengecil, Malaysia akan jadi negara tua


Yasmin Ramlan

Zalikha Mohd berkata impian mempunyai keluarga yang besar tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan suasana ekonomi suram di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 September, 2017.

ZALIKHA Mohd, yang sudah berkahwin sejak lima tahun lepas dan punya seorang anak, ingin sekali menimang seorang lagi cahaya mata tetapi tekanan kos sara hidup yang tinggi memaksa dia dan suami berfikir banyak kali untuk membesarkan keluarga.

Mereka lebih rela hidup dengan keluarga yang kecil asalkan kehidupan anak seorang itu selesa. Cuma mereka tidak sedar keputusan merancang keluarga itu akan memberikan kesan besar kepada negara pada jangka masa panjang apabila jumlah penduduk dalam kalangan sebaya anaknya mengecil menyebabkan Malaysia dipenuhi oleh orang tua.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu menyebut saiz isi rumah yang mengecil akan menyebabkan Malaysia jadi sebuah negara tua menjelang 2030 ketika mana jumlah warga emas meningkat hampir dua kali ganda berbanding angka sedia ada. Warga emas ditakrifkan sebagai kelompok berumur 60 tahun ke atas.

Mengikut rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2017, purata saiz isi rumah di Malaysia menurun kepada 4.06 orang berbanding 4.09 orang pada 2016. Saiz itu lebih kecil di bandar iaitu 3.89 orang pada 2017 berbanding 3.92 orang pada 2016.

Dalam bahasa mudahnya, di bandar secara puratanya sebuah keluarga tidak lebih empat orang atau sepasang suami isteri umumnya hanya ada dua anak.

Tetapi di luar bandar pun peningkatan isi rumah puratanya juga tidak memberangsangkan, naik hanya 0.01% daripada 4.68 kepada 4.69 dalam tempoh yang sama.

Zalikha, 30, berkata keadaan dirinya yang tidak lagi bekerja sejak hampir setahun lalu, menyulitkan lagi kemungkinan untuk anaknya yang kini berumur tiga tahun setengah mendapat adik baharu.

Katanya, belanja untuk anak perempuannya itu yang akan masuk tadika tahun depan saja sudah mencecah kira-kira RM1,500 terutamanya kalau dia kembali bekerja nanti.

“Untuk seorang anak saja, belanja lampin pakai buang dan susu RM500 hingga RM600. Belum lagi kalau saya masukkan dia ke sekolah tadika tahun depan, lebih kurang RM500 sebulan.

“Kalau saya dah mula kerja, kena hantar anak untuk orang jaga dan sediakan bekal makanan anak… mungkin kena sediakan dalam RM350 hingga RM500 sebulan.

“Kalau nak jadi suri rumah sepenuh masa memang tak cukup (wang),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zalikha berkata beliau memang bercadang mahu bekerja semula kerana sudah biasa bekerja dan pegang duit sendiri tetapi buat masa ini dia mahu anaknya membesar di depan mata.

Untuk itu, dia kini menjual “pinggan viral” untuk pendapatan sampingan keluarga, dapatlah RM500 seminggu daripada hasil jualannya itu. Meskipun suaminya, seorang kontraktor, menyediakan perbelanjaan bulanan, namun ia tidak mencukupi kerana perbelanjaan mereka bertambah apabila usia anak semakin meningkat.

“Lagi-lagi ditambah dengan harga minyak yang tiap-tiap minggu naik. Peniaga secara tidak langsung akan ambil kesempatan jual barang mahal dan saya nak buat kerja freelance ini pun banyak pakai petrol untuk kos penghantaran,” katanya yang mengaku tidak memindahkan kos penghantaran itu kepada pelanggannya.

Selain itu, dia juga menyumbang untuk menanggung ibu dan bapanya yang kini masing-masing berumur 71 dan 76 tahun, kata anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.

“Kos sara hidup ibu bapa saya, mereka sendiri yang tanggung sebab mereka ada duit pencen. Cuma kami adik-beradik bahagi-bahagikan jaga (perbelanjaan dan penjagaan ibu bapa) apa yang patut.”

Ibunya bekas penolong kanan sekolah; bapanya bekas pegawai Kereta Api Tanah Melayu (KTM). Seminggu sekali, Zalikha tinggal di rumah ibu bapanya di Ampang, terutama pada hujung minggu.

“Macam belanja dapur, bil rumah dan ubat mereka saya tolong bayarkan,” katanya.

Katanya, perbelanjaan dapur ibu bapanya sebulan antara RM200 hingga RM300, bil air dan api sebanyak RM250 hingga RM300 manakala perbelanjaan perubatan sekitar RM500 hingga RM600.

Kedua-dua orang tuanya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Walaupun mendapatkan rawatan bulanan di hospital kerajaan, kata Zalikha, ubat-ubatan mereka beli di klinik swasta.

Tidak kahwin

Sementara itu, trend berkahwin lewat kerana sibuk bekerja dan faktor lain juga menyumbang kepada pengecilan saiz keluarga di Malaysia.

Nur Jaslina Ramli, 28, masih belum berkahwin kerana sibuk dengan kerja, sama seperti kakaknya yang kini berumur 31 tahun.

“Bukan saya tak nak kahwin. Saya sibuk bekerja, nak cari pasangan pun tak ada masa. Kalau ada pun, saya risau kos lain apabila ada anak nanti.

“Saya kalau boleh nak berikan pendidikan yang berkualiti untuk anak saya tapi kos untuk seorang anak tinggi dalam keadaan barang semua nak naik ni,” katanya.

Menurutnya, dia dan kakaknya yang masih tinggal bersama keluarga turut menanggung kos perbelanjaan bulanan rumah.

“Saya dan kakak contohnya akan sumbang duit untuk belanja rumah mungkin dalam RM200, bil mungkin RM100, makanan kucing RM100. Perbelanjaan rumah tak berapa banyak sangat. Lagipun ayah saya dapat bayaran Perkeso kira-kira RM1,800 sebulan,” katanya merujuk kepada bantuan dana Pertubuhan Keselamatan Pekerja.

Ayahnya, 59, bekas kerani bank dan ibunya, 57, seorang suri rumah.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu menyebut Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030 apabila jumlah warga emas meningkat hampir dua kali ganda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2017.

Ayahnya sebelum ini kena angin ahmar dan kini perlu berulang-alik ke hospital untuk ujian kesihatan sekali sebulan dan bergantung kepada ubat-ubatan dari hospital kerajaan.

Meskipun dia dan kakaknya tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk perbelanjaan rumah tetapi masing-masing mempunyai komitmen bulanan.

Bagi Jaslina, seorang eksekutif media sosial, komitmen bulanannya merangkumi bayaran bulanan kereta RM350, pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) RM500 serta insurans kesihatan RM173 sebulan.

Katanya, jumlah itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan petrol, tol dan parkir serta perbelanjaan harian dan lain-lain yang mencecah RM1,000 sebulan.

“Orang perempuan sekarang ini kalau kahwin pun kena kerja. Sebab tak cukup kalau nak harapkan gaji suami saja. Lagi-lagi kalau duduk kawasan bandar, sewa rumah mahal, barang anak mahal, nak lari pun tak boleh,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim awal tahun lalu menyarankan setiap keluarga di negara ini mempunyai empat anak, sebagai jumlah ideal dalam sesebuah keluarga, ekoran penyusutan kadar kelahiran negara berdasarkan angka dalam Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM5).

“Kita tidak boleh memaksa (orang menambah anak), tetapi menggalakkan. Kerajaan, Insya-Allah cuba pertimbang pelbagai cara, hakikatnya terserah kepada pasangan untuk tentukan berapa ramai anak yang mereka rasa ideal,” katanya di Dewan Rakyat pada Mei 2016.

Rohani berkata kadar pertumbuhan penduduk di Malaysia diunjurkan menurun bagi tempoh 2020 hingga 2035 daripada 2.1 anak kepada 1.91, menyebabkan Malaysia dijangka akan jadi negara tua apabila 15% daripada penduduknya terdiri daripada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Pada masa ini, mereka yang berumur 65 tahun ke atas dianggarkan 6.2% daripada 32 juta rakyat.

Selain merancang keluarga dan lewat berkahwin, kemerosotan kadar kesuburan juga menyumbang kepada salah satu faktor demografi yang menyebabkan Malaysia mengalami penuaan penduduk.

Pada masa sama, taraf rawatan kesihatan yang bertambah baik serta peningkatan teknologi perubatan akan menyebabkan secara puratanya rakyat Malaysia dijangka hidup sehingga umur hampir 75 tahun. – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen