RANCANGAN Lubnan untuk meroboh bangunan konkrit yang menjadi rumah perlindungan pelarian Syria dekat sempadan akan menyebabkan 15,000 kanak-kanak hilang tempat tinggal, kata kumpulan bantuan hari ini.
Pada April, pihak berkuasa memberi tempoh sehingga 9 Jun kepada pelarian Syria yang tinggal dalam bangunan yang dibina dengan bahan selain kayu dan alas plastik di Arsal supaya tempat tinggal mereka dibina mengikut syarat yang ditetapkan.
Lebih 5,000 struktur bangunan yang dibina dari konkrit di Arsal, iaitu di timur laut Lubnan, akan dirobohkan.
Lubnan tidak membenarkan bangunan kekal bagi pelarian Syria untuk mengelakkan keseimbangan demografinya terjejas.
Tiga agensi bantuan antarabangsa - Save the Children, World Vision and Terre des Hommes - meminta kerajaan Lubnan menangguhkan pelaksanaan perobohan itu kerana ia mendatangkan risiko kepada pelarian, terutamanya kanak-kanak.
“Bagi kanak-kanak yang kelaparan, dan jarang ke sekolah, kehilangan rumah meninggalkan trauma buat mereka. Dan kita bercakap tentang 15,000 kanak-kanak,” kata Piotr Sasin dari erre des Hommes yang beribu pejabat di Switzerland.
Kenyataan bersama itu memberi amaran bahawa perobohan banyak rumah pelarian akan memusnahkan sistem bekalan air dan pembersihan, yang menyebabkan kanak-kanak berisiko tinggi dihinggapi penyakit.
Lubnan menempatkan kira1.5 hingga 2 juta pelarian yang melarikan diri dari konflik yang meletus pada 2011.
Ahli politik Lubnan sering menyalahkan pelarian Syria sebagai punca kepada masalah ekonomi dan keganasan di Lubnan. Mereka juga menggesa pelarian ini dihantar semula ke negara asal. – AFP, 4 Jun, 2019.
Komen