PEMILIK ladang kecil kelapa sawit yang mengeluarkan 40% tanaman itu di Malaysia, tidak perlu bimbang dengan undang-undang terbaru Eropah akan menjejaskan komoditi itu, kata utusan tertinggi rantau itu ke Malaysia Maria Castillo Fernandez.
Undang-undang itu yang digelar Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui Kesatuan Eropah II (EU RED II) hanya terpakai kepada ladang kelapa sawit berasaskan bio minyak, dan bukannya minyak kelapa sawit yang digunakan industri dan produk lain yang banyak dikeluarkan ladang kecil.
Dan minyak bio kelapa sawit hanya membentuk 1.4% eksport keseluruhan Malaysia, sementara produk minyak kelapa sawit membentuk 4.4% jumlah eksport keseluruhan dari Malaysia ke rantau itu, menurut Fernandez yang merupakan duta EU dan ketua delegasi ke Malaysia.
Beliau mengulas kemarahan awam dalam kalangan 650,000 pemilik ladang kecil, bahawa undang-undang itu akan mengurangkan pendapatan mereka kerana Eropah adalah pengimport kedua terbesar Malaysia untuk minyak sawit.
Fernandez sudah melawat ladang kelapa sawit milik Felda dan Felcra di Perak untuk bertemu dengan pemilik ladang sawit tentang akta dan harapan untuk pasaran Eropah. EU RED II dipinda pada Mei dan akan berkuatkuasa pada Jun 2021.
Ia tidak mengharamkan sepenuhnya eksport minyak sawit ke Eropah tetapi “mengekang” penggunaan minyak kelapa sawit sebagai minyak-bio dengan menghapuskan insentif kewangan daya saing untuk minyak sawit.
Insentif kewangan untuk ladang kelapa sawit berdasarkan minyak bio akan dibatalkan kerana EU menganggap kelapa sawit adalah hasil pengeluaran tidak lestari, yang diukur berdasarkan kadar pembebasan karbon apabila hutan ditebang untuk dijadikan ladang.
Undang-undang itu digubal sebagai reaksi selepas kajian mendedahkan jumlah karbon dioksida dibebaskan daripada penebangan hutan adalah faktor penyumbang krisis perubahan iklim. – 3 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen