Siasatan kes polis rompak pengurup wang hampir selesai


Kalidevi Mogan Kumarappa

Aduan awal pengurup wang itu mendakwa ada sekumpulan lelaki kononnya dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Bank Negara Malaysia sedang melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premisnya yang didakwa beroperasi tanpa lesen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2019.

SIASATAN terhadap 13 individu termasuk tujuh pegawai dan anggota polis yang didakwa merompak pengurup wang di Kuala Lumpur dua minggu lalu sudah hampir selesai, kata polis.

Kertas siasatan terhadap mereka akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Polis Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah.

“Buat masa sekarang, kesemua (pegawai dan anggota polis) yang ditahan telah dibebaskan dan bekerja seperti biasa sementara menunggu kertas siasatan kes mereka lengkap,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kesemua suspek bebas dengan jaminan selepas perintah reman ke atas mereka yang disambung minggu lalu tamat, tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin menjelaskan sehingga semua pegawai dan anggota itu dituduh di mahkamah, mereka dibenarkan untuk bertugas seperti biasa, di pejabat tanpa melibatkan urusan dengan orang awam.

“Kalau dituduh di mahkamah, mereka akan diambil tindakan tahan kerja sebagaimana dalam peruntukan Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, dua pegawai polis berpangkat inspektor dan lima anggota ditahan bagi membantu siasatan kes seorang ahli perniagaan yang disamun RM204,000 dua hari sebelumnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim dalam satu kenyataan mengesahkan dua inspektor yang disiasat ialah seorang dari Maktab Teknik Polis Di-Raja Malaysia, Muar manakala seorang lagi pegawai dari Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Lima anggota yang ditahan ialah seorang dari IPD Petaling Jaya, tiga dari Balai Polis Sea Park dan seorang dari Balai Trafik, Jalan Bandar.

Enam orang awam turut ditahan, termasuk seorang kakitangan Bank Negara Malaysia.

Aduan awal pengurup wang itu mendakwa ada sekumpulan lelaki kononnya dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Bank Negara Malaysia sedang melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premisnya yang didakwa beroperasi tanpa lesen.

Pengurup wang itu mendakwa beliau dan empat pekerjanya digari, sementara telefon genggam dan wang RM4,000 dari peti simpanan dirampas.

Menurut Mazlan, suspek juga didakwa meminta wang berjumlah RM200,000 sekiranya pengurup wang itu dan pekerjanya mahu dilepaskan.

“Pengadu yang ketakutan atas ugutan tersebut telah menyerahkan wang yang diminta,” katanya, dalam kenyataan media pada 21 Mei lalu.

The Malaysian Insight difahamkan perbuatan mereka terbongkar melalui rakaman kamera litar tertutup di premis pengurup wang berkenaan. – 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen