MAJLIS Peralihan Tentera Sudan (TMC) berkata pada Selasa pilihan raya akan diadakan dalam tempoh sembilan bulan untuk menyelesaikan krisis di negara itu, sejak bekas Presiden Omar al-Bashir digulingkan, lapor agensi berita Anadolu.
Kenyataan pengerusi TMC, Abdel Fattah al-Burhan itu dikeluarkan selepas lebih 30 penunjuk perasaan terbunuh pada Isnin apabila pasukan tentera bertindak menyuraikan penunjuk perasaan di ibu kota Khartoum.
Al-Burhan berkata TMC juga membatalkan semua perjanjian dengan gabungan parti pembangkang utama sebelum ini serta menggantung rundingan dengan mereka.
Beliau turut berikrar mengadakan pilihan raya yang bebas serta adil, dan mengisytiharkan kabinet dalam beberapa hari lagi, selain akan mengadakan siasatan ke atas insiden pembunuhan membabitkan penunjuk perasaan. – Bernama, 4 Jun, 2019.
Komen