AHLI Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dipanggil polis berhubung pembabitannya dalam satu forum yang diadakan setahun lalu di Pulau Pinang.
Wakil rakyat DAP itu hadir ke balai polis Jalan Patani untuk merekodkan keterangannya.
Peguamnya, R.S.N. Rayer, yang menemaninya memberitahu wartawan, satu laporan polis dibuat terhadap forum “Deklarasi rakyat: Suara anak muda, selamatkan Malaysia”.
Forum itu diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada 12 April tahun lalu.
Kasthuri berkata beliau ialah salah seorang ahli panel tetapi tidak ingat siapa penganjurnya.
Rayer berkata laporan polis itu tidak ditujukan secara langsung kepada Kasthuri, yang dipanggil ke balai untuk membantu siasatan polis.
“Kami tidak ada apa-apa maklumat. Kami di sini kerana Kasthuri menghadiri forum itu dan diminta membantu siasatan.
“Kami hanya diberitahu siasatan dibuat di bawah Akta Perhimpunan Aman,” katanya, menambah Kasthuri bukan satu-satunya ahli Parlimen DAP yang dipanggil polis.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim turut dipanggil merekodkan keterangan esok berhubung forum sama, katanya.
“Kami juga diberitahu beliau dipanggil. Beliau akan ditemani peguam dan rakan ahli Parlimen Ramkarpal Singh,” kata Rayer.
Sim juga tidak tahu mengapa beliau dipanggil memberikan keterangan.
Katanya, memandangkan forum itu sudah setahun berlalu, beliau sudah tidak ingat apa yang dibincangkan pada masa itu.
“Kami hanya rakyat yang mematuhi undang-undang, jadi kami akan bekerjasama bila mereka kata hendak bercakap dengan kita. Kami faham polis ikut arahan, tetapi saya rasa mereka ada banyak kes kritikal lain perlu dilihat berbanding bercakap dengan ahli politik,” katanya. – 12 April, 2017.
Komen