MEXICO mempelawa Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama dengan negara itu bagi mengurangkan penghijrahan imigran secara paksa, lapor agensi berita Sputnik.
“Cadangan Mexico adalah untuk bekerjasama dengan AS dan seluruh masyarakat antarabangsa, terutama dengan negara yang terlibat dalam aliran transit.
“Tujuan utama adalah untuk mengurangkan migran paksa dengan mempercepatkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan El Salvador, Guatemala dan Honduras,” kata kerajaan Mexico dalam satu kenyataan pada Isnin yang dimuat naik di Twitter kedutaan negara itu di AS.
Andai cadangan itu dapat dilaksanakan ia sekaligus membolehkan punca penghijrahan diatasi dan penyelesaian menyeluruh dicapai.
“Kami percaya kaedah politik dan dialog boleh mengelakkan masalah menjadi lebih buruk,” tambah kenyataan itu.
Jumlah migran dari Amerika Tengah tiba di sempadan AS dengan Mexico meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Presiden Donald Trump menggesa untuk mengatasi krisis itu dan mengisytiharkan kecemasan negara pada Februari untuk mendapatkan dana membina tembok sempadan.
Minggu lepas, Trump berkata AS akan mengenakan tarif lima peratus ke atas semua barangan import Mexico bermula 10 Jun.
Tarif itu akan meningkat kepada 25 peratus menjelang Oktober kecuali Mexico bertindak membendung krisis imigran haram. – Bernama, 4 Jun, 2019.
Komen