TENTERA Sudan bertindak menyuraikan perusuh di luar ibu pejabat tentera di Khartoum, menyebabkan lebih 30 orang terbunuh manakala ratusan lagi cedera.
Tindakan tentera itu turut mendapat kecaman daripada masyarakat antarabangsa.
Pasukan Sokongan Pantas tentera dikerahkan ke seluruh ibu negara berkenaan, memgawal laluan ke jambatan yang merentasi Sungai Nil serta menggerakkan konvoi tentera di sekitar bandar itu.
Amerika Syarikat menyifatkan tindakan ke atas penunjuk perasaan yang mahu jeneral tentera menjadi dalang di sebalik rampasan kuasa Presiden Omar al-Bashir diserahkan kepada undang-undang rakyat, sebagai satu “keganasan”.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menyelar penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan dan menggesa siasatan bebas diadakan.
Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tertutup pada Selasa bagi membincangkan isu Sudan, selepas Britain dan Jerman meminta rundingan dibuat.
Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, yang rapat dengan penunjuk perasaan berkata, angka kematian meningkat kepada lebih daripada 30 orang dengan ratusan lagi mengalami kecederaan.
Kanak-kanak berusia lapan tahun antara yang terbunuh dalam keganasan itu.
Pihak jawatankuasa itu turut menggesa sokongan segera daripada organisasi kemanusiaan bagi membantu mangsa yang cedera. – AFP, 4 Jun, 2019
Komen