TERENGGANU mula hilang kampung warisan ditelan kerancakan pembangunan projek mega, termasuk jambatan angkat di Kuala Terengganu, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, yang dibuka kepada umum semalam.
Penduduk di sekitar Kuala Terengganu yang ditemui The Malaysian Insight mengalu-alukan pembangunan yang dibuat oleh kerajaan negeri. Namun mereka mengeluh kerana pembangunan itu mengorbankan bukan saja kampung tradisional malah seni warisan negeri.
Senator Raja Kamarul Bahrin Shah berkata dengan kadar pembangunan yang ada dan sikap kerajaan negeri yang tidak peduli, Terengganu akan hilang seni warisan yang jadi identitinya.
“Sekarang ini cuma tinggal beberapa kampung saja di bandar Terengganu. Kampung Tanjung misalnya hilang hampir 40 peratus kerana pembangunan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Yang musnah bukan saja kampung tetapi bangunan bersejarah,” tambahnya, menyebut contoh Istana Kolam Sultan Sulaiman Badrul Shah, yang dirobohkan pada akhir 1980-an dan di tapaknya sekarang didirikan sebuah rumah pangsa.

Kampung yang dirobohkan di Kuala Terengganu turut memakan korban pengusaha seni kraftangan yang menjadi identiti negara, seperti tembaga dan batik.
Di Kampung Ladang, seorang penggiat batik terus gigih mempertahankan seni warisan tradisi itu walaupun kini terpaksa mengerjakannya di unit rumah pangsanya yang sempit.
“Dulu rumah saya depan sana, kawasan luas… depan pantai lagi. Di situlah saya buat batik,” kata Zakaria Ismail, yang sudah lima dekad mengerjakan batik.
“Kampung Ladang dulu meriah, memang sederet kawasan rumah kami… macam- macam kami buat hasil kraf tradisional. Ada tembaga, keris, batik,” katanya dalam satu pertemuan di rumahnya di Kuala Terengganu.
Menurut Zakaria, pada 2014, seramai 66 penduduk kampung itu diarah berpindah keluar oleh kerajaan negeri, ketika itu di bawah Barisan Nasional. Mereka diberi pampasan wang dan penempatan semula di Pangsapuri Ladang Gemilang 1 dan 2.
“Penduduk ada lawan, panggil peguam tapi tetap tak boleh apa akhirnya akur saja,” katanya.
Di rumah seluas lebih kurang 65 meter persegi atau 700 kaki persegi, Zakaria, 62, menjadikan ruang tamunya sebagai bengkel menukang sarang cap batik.
“Saya diberi pilihan bengkel atau rumah. Kalau ambil bengkel, hilang rumah. Kalau ambil rumah, hilang punca rezeki. Jadi saya pilih rumah, dan rumah ini jadi bengkel,” katanya yang menghuni rumah itu dengan anak dan cucunya.
Zakaria kesal kerajaan BN sebelum ini tidak berpegang pada janji untuk mengekalkan kampung itu.
“Memang betul tanah itu ada sebahagiannya milik kerajaan negeri. Sebelum pilihan raya janji nak cantikkan kampung, buat betul- betul sebagai tempat pelancongan.
“Selepas pilihan raya, habis semua musnah… janji tinggal janji,” katanya.
Selepas kampung itu roboh, tidak ramai lagi penduduknya yang meneruskan kegiatan membuat hasil kraf tangan.
“Habis semua (kraftangan) mati macam itu saja,” katanya.
Selain Kampung Ladang, beberapa kampung lain yang berdekatan juga mengalami nasib sama seperti Kampung Tanjung, Kampung Banggol dan Kampung Lorong Jamil.
The Malaysian Insight difahamkan mereka yang dipaksa berpindah keluar menerima pampasan ganti rugi serta seunit rumah pangsa untuk disewa.
Mohd Noor Harun, 55, dari Kampung Tanjung, bagaimanapun menolak tawaran unit rumah pangsa.
“Saya tak terima sebab tiap- tiap bulan kena bayar juga rumah. Lagi pun kalau macam kami pengusaha kraf perlukan ruang yang luas,” katanya yang lebih 30 tahun mencari rezeki dengan membuat cincin.

Atas arahan pindah itu, Mohd Noor bukan saja hilang rumah dan tempat berniaga; hasil perniagaannya sekarang pun tidak seperti dulu semasa beroperasi di Kampung Tanjung.
“Sana laluan utama bandar, orang boleh nampak kedai kita,” katanya.
Namun lebih daripada itu, Mohd Noor kesal kerana kerajaan meranapkan begitu saja kampung yang kaya dengan warisan dan sejarah Melayu.
“Kampung Tanjung usianya sudah beratus tahun. Dulu ada juga dengar cerita penduduk jumpa meriam lama di kampung itu,” katanya.
Kebanyakan rumah Melayu yang dirobohkan di kampung-kampung berkenaan terutamanya di Kampung Ladang dan Kampung Tanjung mempunyai ukiran Melayu yang unik.
“Ukiran kayu itu diukir dengan tangan, nilai seni sangat tinggi. Kayu yang diguna untuk buat rumah bukan sembarangan kayu… kayu cengal, anai-anai tak makan,” kata Zakaria.
Bagi Mohd Raziff Ismail, 36, yang mewarisi seni pembuatan cincin, sebagai generasi muda beliau bimbang baki kampung tradisi yang masih ada nanti akan mengalami nasib yang serupa.
“Dengar-dengar Kampung Tanjung Paya ini pun akan diusik untuk pembangunan juga sebab keliling ini semua kerajaan negeri dah bangunkan,” katanya.
Raja Kamarul, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, menggesa kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS mengambil contoh di tempat lain yang boleh mengekalkan warisan tradisional.

“Rumah kayu di Terengganu ini kebanyakannya jenis pasak siap, boleh tanggal lepas itu pasak balik tempat lain.
“Jadi tidak ada sebab usaha menyelamatkan warisan negara tidak boleh dilakukan,” katanya.
Beliau yang berjuangkan mempertahankan warisan Terengganu mengingatkan kerajaan negeri agar tidak “syok sendiri” dengan arus pemodenan kerana apa yang berlaku selama ini tidak menampakkan hasil seperti yang dihebohkan.
Menurut Raja Bahrin, tanah yang diambil kerajaan negeri sebelum ini kononnya dibangunkan untuk unit komersial tetapi sekarang jadi kawasan mati, dan sesetengahnya masih belum ada peniaga.
“Tidak ada yang nak menyewa bangunan kedai sejak dibangunkan dua tiga tahun lepas… sebab itu saya kata kerajaan negeri syok sendiri, buat sesuatu tapi tiada kajian,” katanya.
Raja Bahrin khuatir jambatan angkut yang dibuka semalam bukan saja tidak memberi manfaat kepada penduduk malah tidak juga akan jadi tarikan pelancong.
“Terengganu ini cuma nak pinjam idea orang tapi tidak ada kena mengena langsung dengan seni budaya adat kita.
“Kita khuatir nanti akan memberi kesan, tidak ada pelancong datang ke Terengganu kerana keasliannya hilang. Itu masalah yang kita hadapi kini,” katanya.– 4 Jun, 2019
Komen