SEKITAR jam 10 pagi, rombongan pelancong terakhir berlalu dari gerai di pusat kraftangan di Batu Bungan, Mulu dan para pengusaha dari suku Penan mula mengemaskan barang jualan.
itu akan dibawa oleh pemandu pelancong yang juga terdiri daripada warga kampung mereka untuk mengunjungi tarikan di kawasan Taman Negara Mulu seperti Gua Niah.
Waktu puncak kedatangan pelancong antara Jun hingga September ini paling dinantikan oleh suku Penan, Berawan dan Tering di Mulu.
“Inilah sahaja sumber pendapatan utama keluarga kami,” kata Musi Jeluman yang berniaga bersama lebih 20 pengusaha lain di pusat kraf tersebut.
Sumpit yang dijualnya tidak berapa laku pada hari itu tetapi beberapa pelancong mencuba menembak senjata tersebut ke sasaran dengan bayaran RM1 untuk setiap damak.
“Kadang-kadang saya boleh dapat sehingga RM100 sebulan,” kata Musi, 73, yang mengakui jumlah itu amat tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarganya.

Tambahan pula, harga barangan keperluan dan kos untuk tenaga di kawasan pedalaman itu sangat tinggi, kata bapa kepada enam orang anak itu lagi.
Pada masa ini, tiada cara lain untuk menyalakan lampu dan peralatan elektrik di kira-kira 80 buah rumah penduduk di Kampung Batu Bungan melainkan dengan menggunakan generator.
Satu-satunya cara untuk mendapatkan bahan api pula adalah dengan menggunakan perahu panjang menempuh jeram berbahaya ke Marudi yang terletak kira-kira 80 kilometer di hilir Sungai Baram.
Sebab itulah harga petrol meningkat berlipat kali ganda – sehingga hampir RM4 seliter apabila musim tengkujuh atau kemarau, kata seorang pengusaha inap desa, Glenn Baya.
Beliau sudah biasa membayar RM540 termasuk kos pengangkutan untuk setiap tong mengandungi kira-kira 220 liter bahan api bagi kegunaaan di inap desanya setiap bulan.

“Tapi jika air cetek pada musim kemarau, perahu besar yang bawa minyak tidak dapat lalu. Ketika kemarau bulan lalu harganya naik RM850 setong.
“Kalau masa banjir pula sangat bahaya. Awal tahun ini sewaktu air sungai naik harganya RM700 setong.
“Minggu lalu baru dapat tahu kami berhak ke atas harga subsidi RM436. Penjual cuma kaut untung mudah. Kita ini kerja mati-matian untuk bayar harga petrol sahaja,” katanya lagi.
Dengan kos tersebut, beliau hanya mampu menyediakan bekalan elektrik selama enam jam sehari kepada tetamunya, tidak seperti di hotel besar di kawasan itu.
“Hotel itu boleh dapat bekalan elektrik dari Sarawak Energy, kenapa kami tidak boleh dapat?” soalnya.
Kampung paling hampir dengan Mulu adalah Long Iman, sejauh kira-kira 10 kilometer.
Tiada jalan lain ke kampung itu kecuali dengan melalui Sungai Melinau dan Sungai Tutoh dengan menaiki perahu Orang Ulu dengan tambang sekurang-kurangnya RM150.

Maka untuk menjimatkan kos, mereka perlu membina perahu sendiri untuk mendapatkan bahan keperluan di bandar seperti Marudi, kata Resen Yu, seorang pemimpin Kampung Long Iman.
“Di bandar ada orang periksa harga, di sini mana ada. Bata merah untuk buat rumah harganya RM500 satu tan. Kalau di Marudi, harganya baru RM100 hingga RM180 satu tan.
“Barangan seperti gula pula RM5 sekilo, minyak masak RM14 untuk sebotol dua kilo sedangkan kita masih dalam Malaysia, saya pun tidak faham.
“Subsidi pun nama saja, tapi tetap dijual mahal,” kata Resen ketika ditemui di Kampung Long Iman.
Sekiranya mereka membeli sendiri bahan keperluan itu di bandar Marudi, perjalanan pergi balik selama dua hari menaiki perahu tetap menelan bahan api sebanyak satu tong, katanya.
Jika menaiki perahu orang lain pula, mereka perlu membayar tambang sehingga RM800.
Tapi di Long Iman, mereka lebih bertuah kerana dapat mengusahakan padi bukit yang cukup untuk dimakan seisi keluarga sepanjang tahun bagi setiap tuaian, kata Resen lagi.
Beliau baru selesai menuai 30 guni padi pada musim ini dan menunggu masa untuk menoreh getah yang ditanam sejak empat tahun lalu.

Di Batu Bungan, keadaan lebih menekan. Suku Penan di situ hanya dapat bergantung kepada sektor pelancongan kerana tidak lagi dapat mengusahakan kebun, memburu dan mengutip hasil hutan.
Kawasan hutan seluas kira-kira 4,000 hektar bersempadan dengan kawasan taman negara dan negara Brunei itu dituntut oleh satu syarikat ladang kelapa sawit, yang ditentang masyarakat ini.
Mereka tidak rela syarikat tersebut memusnahkan hutan yang menjadi sumber mata pencarian mereka untuk digantikan dengan kelapa sawit.
Namun syarikat tersebut juga berjanji membina jalan menghubungkan Mulu dengan Marudi sejauh kira-kira 70 kilometer untuk memudahkan penduduk mendapatkan barang keperluan dan bahan api.
Sekiranya jalan itu menjadi kenyataan, ia akan membawa membolehkan kawasan hulu berkenaan dinaik taraf dengan kemudahan lebih baik.
Seorang bekas guru besar, Joseph Lingan Kana berkata perkara utama yang diharapkannya tentunya kemudahan serta pendedahan lebih luas untuk meningkatkan pencapaian murid di kawasan tersebut.
“Memang dari dulu, tiada kemudahan asas di sekolah-sekolah luar bandar ini. Kami tertekan untuk mencapai tahap sama seperti sekolah lain.
“Ada sekolah yang pencapaiannya kosong. Semuanya gagal 100%. Itu bukan perkara luar biasa,” katanya yang berpengalaman mengetuai enam buah sekolah di hulu Sarawak.

Beliau percaya pelajar berkenaan akan dapat menimba ilmu dengan lebih baik dan tidak lagi ketinggalan sekiranya sekolah mendapat kemudahan lebih baik seperti buku kerja dan bekalan asas.
“Buku kerja kena beri percuma. Setiap mata pelajaran kena ada buku kerja jika tidak pelajar akan ketinggalan. Jika suruh ibu bapa beli, mereka hendak beli di mana?
“Cuba awak bayangkan, sekolah kena guna air dari sungai sedangkan di hulu ada orang orang buang air dalam sungai.
“Kami tadah air hujan, kami buat sendiri saluran untuk kumpul air hujan. Bekalan elektrik pula daripada generator. Jika generator rosak, tiada bekalan elektrik, jadi bagaimana?”

Ditanya sekiranya beliau melihat kerajaan baharu Pakatan Harapan akan dapat menunaikan janji menaik taraf sekolah berkenaan, Cikgu Joseph, 66, berkata ia akan mengambil masa yang lama.
“Kita tidak boleh lihat perubahan berlaku dalam masa satu tahun. Ia akan mengambil masa. Saya faham dengan kekangan tetapi ini semua tidak adil bagi kami.
“Saya tidak peduli apa yang orang politik cakap, saya mahu mahu tengok hasilnya,” tegas Cikgu Joseph. – 4 Jun, 2019
Komen