SATU daripada dua rakyat Malaysia menggunakan platform e-dagang untuk menjual dan membeli dalam talian sejak 12 bulan lepas, menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kajian itu yang didedahkan hari ini, juga meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dibelakang Singapura dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara dalam konteks peratusan pengguna e-dagang, seperti dilaporkan Bank Dunia pada 2018.
Putrajaya mengungguli senarai penggunaan platform e-dagang sebanyak 70.5%, diikuti dengan Labuan (60.5%) dan Perlis (44.5%), menurut kajian SKMM melibatkan 5,348 responden seluruh negara yang dibuat antara Ogos dan November tahun lepas.
Kajian SKMM turut mendapati wanita lebih banyak melakukan aktiviti e-dagang (53.9%) berbanding lelaki (48.8%), manakala pakaian dan aksesori adalah barangan paling popular dibeli.
Bagaimanapun, jumlah wang dibelanjakan lelaki lebih tinggi berbanding wanita dalam tempoh 12 bulan lepas dengan purata RM690, berbanding purata RM450 untuk wanita.
Lelaki juga didapati cenderung membeli perisian dan peralatan komputer serta barangan automotif.
84.4% pengguna e-dagang berkata mereka memilih membeli belah dalam talian kerana ia mudah dan selesa. Harga yang menarik juga jadi faktor tarikan untuk 73.0% pengguna e-dagang. Antara kaedah bayaran yang disukai termasuklah Boost, WeChat Pay dan Touch ‘n Go eWallet.
Kajian juga mendapati telefon pintar adalah peranti paling popular, seramai 78.3% pengguna menggunakannya untuk membeli belah.
Media sosial juga penting bagi membolehkan pengguna mengumpul maklumat tentang produk atau perkhidmatan sebelum membeli, sebanyak 44.1% pengguna menggunakan media sosial untuk mengesahkan kualiti produk bagi mengelak tertipu, kata SKMM.
SKMM juga mendapati lebih separuh pengguna bimbang dengan aspek keselamatan dan privasi ketika membeli belah dalam talian.
Kebimbangan itu termasuklah penipuan kad kredit, peniaga palsu, kecurian butiran perbankan, kecurian identiti dan isu kepercayaan.
Antara isu ini, penipuan kad kredit dan debit adalah kebimbangan utama, sebanyak 3.9% pengguna bimbang mengenainya.
Dalam aspek privasi, 82.7% menyatakan yang mereka sangat bimbang untuk memberikan maklumat peribadi mereka, 70.0% bimbang data peribadi mereka digunakan untuk tujuan pemasaran. – 3 Jun, 2019.
Komen