PRESIDEN Iran hari ini menolak kemungkinan menyambung semula rundingan dengan Washington sehingga ia bertindak “normal”, selepas Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata AS sedia berunding semula dengan Tehran tanpa syarat.
“Pihak yang meninggalkan meja rundingan, pihak yang melanggar perjanjian perlu kembali kepada kelakuan normal,” kata Hassan Rouhani dalam ucapan disiarkan di telivisyen.
“Jika musuh benar-benar sedar jalan diambilnya salah, itulah harinya kita akan duduk semula di meja rundingan dan menyelesaikan semua isu,” tambahnya lagi.
Ketegangan antara Tehran dan Washington semakin memuncak selepas AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dan mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara Islam itu.
Tetapi, diplomat kanan Washington nampaknya mula berlembut dengan pendirian AS dan semalam berkata “kami bersedia memulakan perbualan tanpa syarat.”
Kesediaan Washington untuk berbincang sekiranya Iran boleh membuktikan mereka negara normal,” kata Pompeo lagi di Switzerland yang mewakili kepentingan Washington di Iran kerana kedua-dua negara itu tidak lagi mempunyai hubungan diplomatik.
Pompeo bagaimanapun tidak memberikan petunjuk yang sekatan ekonomi akan dibatalkan.
Pada Ahad, Rouhani bertegas yang Iran tidak akan dibuli untuk berunding dengan AS, dan “penghormatan penuh” diperlukan untuk rundingan berlaku. – AFP, 3 Jun, 2019.
Komen