KETUA polis daerah yang mengarahkan pegawai dan anggota bawahannya mencari dana untuk biaya sambutan majlis Hari Raya Aidil Fitri akan dikenakan tindakan termasuk tukar daerah, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau mengesahkan memo dalaman yang tersebar mengenai amarannya kepada pegawai atasan Polis Di-Raja Malaysia mengenai amalan itu.
Kata Abdul Hamid, mana-mana balai polis tidak perlu menganjurkan majlis sambutan hari raya kalau tidak ada duit untuk itu.
“Kalau tidak mampu buat majlis tidak payah buat majlis langsung. Apa guna kutip dana untuk buat majlis?
“Itu tak boleh diterima,” katanya selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Ops Selamat 15 di Plaza Tol Gombak, petang tadi.
Jelas Abdul Hamid, majlis sedemikian sepatutnya dibuat dengan duit daripada kelab atau sumbangan sesama sendiri, dan bukannya dengan mengutip dana daripada pihak luar.
Beliau juga mengesahkan seorang ketua polis daerah di Kuala Lumpur sedang disiasat dan akan ditukarkan daerah jika didapati bersalah.
“Ya, ada berlaku. Saya akan ambil tindakan. Ini memalukan pasukan. Duit datang daripada orang awam. Malu lagi kalau duit datang dari cara tidak betul,” katanya.
Abdul Hamid kemudian bertanya apa faedahnya buat majlis sambutan hari raya kalau penganjurannya bukan dengan cara yang betul.
“Saya tahu ada banyak yang anggap kononnya berjaya (buat majlis hari raya) tetapi nak bangga apa? Rakyat sedihkah kalau kita tidak buat majlis terbuka hari raya? Tak!”
Awal hari ini, tersebar satu memo dalaman daripada Abdul Hamid kepada pegawai atasan polis termasuk ketua polis daerah melarang mereka mengarahkan pegawai dan anggota bawahan untuk mengumpulkan dana bagi membiayai sambutan perayaan.
Katanya, perbuatan itu mencemarkan pasukan polis dengan rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya sekali kali mengulangi amaran saya supaya perbuataan keji dan terkutuk seumpamanya ini, dihentikan serta merta sebelum padah menimpa diri dan tindakan keras diambil ke atas mereka yang terbabit.
“Jangan gadai maruah diri serta pasukan, dan tidak segan silu bergelumang dengan najis rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam memo dalaman itu.
Abdul Hamid menegaskan walaupun beliau sudah beri amaran keras dan jelas sebelum ini tetapi ia tidak memberi kesan.
Bercakap kepada wartawan petang ini, Abdul Hamid menjelaskan beliau dapat aduan daripada pegawai dan anggota bawahan mengenai amalan mengumpul dana untuk majlis sambutan hari raya.
“Ini memo dalaman. Macam bocor kepada media pun saya tidak pasti. Saya dapat aduan daripada pegawai peringkat bawahan bahawa mereka dipaksa untuk kutip duit raya.
“Amaran saya, hentikanlah. Isu ini sudah dibangkitkan sebelum ini. Kalau hendak buat majlis, guna duit sendiri… duit kelab atau kutip sama sendiri.” – 3 Jun, 2019
Komen