SEKUMPULAN wanita Jepun hari ini menghantar petisyen kepada kerajaan untuk membantah peraturan wajib tidak rasmi pekerjaan yang menghendaki pekerja wanita memakai kasut tumit tinggi ketika bekerja.
Kempen #KuToo, permainan istilah menggabungkan dua perkataan Jepun “kutsu” (kasut) dan “kutsuu” (sakit), dilancarkan pelakon wanita dan penulis bebas Yumi Ishikawa dan segera meraih sokongan hampir 19,000 orang dalam talian.
Penyokong kempen berkata pemakaian kasut tumit tinggi dianggap “hampir wajib” ketika mencari kerja di banyak syarikat Jepun.
“Hari ini kami menghantar petisyen menggesa penggubalan undang-undang mengharamkan majikan memaksa wanita memakai kasut rumit tinggi kerana ia diskriminasi atau gangguan seksual,” kata Ishikawa kepada wartawan selepas berjumpa pegawai kementerian.
Pegawai kementerian yang ditemuinya adalah “wanita dan bersimpati dengan petisyen kami…dan beritahu kami ini kali pertama gesaan seperti ini sampai ke kementerian,” kata Ishikawa.
“Ia langkah pertama ke depan” untuk mencapai matlamat kami, tambah Ishikawa.
Pegawai kementerian masih belum mengeluarkan ulasan mengenai petisyen itu.
Ishikawa menerusi Twitternya awal tahun ini yang merungut tentang kerjanya dengan sebuah hotel memerlukan beliau memakai kasut tumit tinggi tular, menyebabkannya melancarkan kempen itu.
“Sebaik saya menyedari yang ramai orang berdepan masalah sama, saya memutuskan untuk melancarkan kempen itu, selari dengan kempen global anti gangguan seksual #MeToo,” katanya.
Beberapa orang penyokong kempen berkata amalan pemakaian kasut tumit tinggi setanding dengan amalan bengkung kaki zaman moden, ada juga yang menggesa kod pakaian lain seperti pemakaian suit untuk lelaki dilonggarkan kewajibannya.
Pada 2015, pengarah Pesta Filem Cannes menerima kecaman hebat selepas kontroversi tersebut melibatkan beberapa pelakon wanita dilarang melintasi “karpet merah” kerana tidak memakai kasut tumit tinggi.
Tetapi, Cannes masih mengekalkan peraturan itu, walaupun bintang terkenal Hollywood Julia Roberts membantah, berjalan kaki ayam di pesta filem itu tahun berikutnya.
Pada 2017, British Colombia di Kanada mengharamkan syarikat memaksa pekerja wanita memakai kasut tumit tinggi, menyifatkan amalan itu berbahaya dan diskriminasi. – AFP, 3 Jun, 2019.
Komen