MULAI September, Thailand dan Myanmar akan mempunyai pemandu kenderaan pengangkut barang yang melakukan perjalanan di kedua-dua negara, dalam usaha meningkatkan ekonomi serantau, lapor agensi berita Vietnam.
Setiap negara mengeluarkan 100 lesen untuk pengendali pengangkutan barang bagi membolehkan mereka memandu di kedua-dua negara, termasuk tiga laluan ke Yangon dan pelabuhan berhampiran Zon Ekonomi Khas Thilawa di Myanmar, Bangkok dan Laem Chabang di Chon Buri, kata Ketua Jabatan Pengangkutan Darat Thailand Phiraphon Thawonsuphacharoen.
Kedua-dua negara akan membuat pemilihan dan penelitian ke atas kelayakan pengendali, katanya sesuai dengan keperluan ditetapkan Perjanjian Pengangkutan Darat Wilayah Sempadan Mekong.
Laluan bermula dari pusat pemeriksaan sempadan Myawaddy-Mae Sot bertujuan untuk menyokong pelancongan dan logistik antarabangsa, kata Phiraphon.
Pemandu dari Thailand boleh memulakan perjalanan di daerah Tak’s Mae Sot dan menyeberangi Jambatan Persahabatan Thai-Myanmar ke pelabuhan Yangon dan Thilawa.
Sementara, pemandu dari Myanmar boleh memilih sama ada menggunakan - laluan pemeriksaan Myawaddy-Mae Sot atau laluan Mukdahan dan Mae Sot-Bangkok-Laem Chabang.
Di samping itu katanya, Thailand telah memeterai perjanjian sama dengan Laos dan Vietnam, kata Phiraphon.
Perdagangan rentas sempadan Thailand pada 2018, melonjak 1.4 bilion Baht (AS$44.5 bilion) meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya, namun masih belum memenuhi sasaran sebanyak 1.5 trilion Baht.
Perdagangan sempadan Thailand dengan Laos, Myanmar, Kemboja dan Malaysia mencapai 1.12 trilion Baht - dengan eksport mencatatkan 650.9 bilion Baht, turun 0.5%; dan import bernilai 473.76 bilion Baht, naik 11%.
Malaysia adalah rakan kongsi terbesar bagi perdagangan sempadan, diikuti Laos, Myanmar dan Kemboja. – Bernama, 3 Jun, 2019.
Komen