Tentera Sudan lancar operasi surai penunjuk perasaan 


Tentera mengambil alih pentadbiran dan berjanji untuk mengadakan pilihan raya presiden baharu dalam masa dua tahun.– Gambar EPA, 3 Jun, 2019

TENTERA Sudan melancarkan operasi bagi menyuraikan tunjuk perasaan yang diadakan berhampiran markas tentera di Khartoum pada Isnin, lapor agensi berita Sputnik.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan menulis di Twitter, dua orang terbunuh selepas terkena tembakan dan beberapa lagi cedera.

Situasi kian parah selepas pihak pembangkang, Persatuan Profesional Sudan (SPA) menyeru rakyat untuk bangkit beramai-ramai mengadakan bantahan awam.

“SPA dan sekutu menyeru rakyat di negara untuk mengadakan bantahan sehingga Majlis Peralihan Tentera Sudan (TMC) digulingkan,” menurut kenyataan SPA. 

SPA juga menuduh tentera Sudan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah dan pembunuhan semasa protes di Khartoum.

Sudan menyaksikan tercetusnya rampasan kuasa tentera pada 11 April selepas berbulan-bulan berlangsungnya demonstrasi besar-besaran, sehingga Presiden Omar Bashir digulingkan dan kini ditahan selepas hampir 30 tahun berkuasa.

Tentera kemudian mengambil alih pentadbiran dan berjanji untuk mengadakan pilihan raya presiden baharu dalam masa dua tahun. – Bernama, 3 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen