2 mati ketika tentera Sudan surai tunjuk perasaan


Penunjuk perasaan menutup Jalan 60, salah satu jalan utama di Khartoum dengan menyusun batu serta membakar tayar dan batang pokok. – Gambar AFP, 3 Jun, 2019.

SEKURANG-kurangnya dua orang terbunuh hari ini ketika tentera Sudan cuba menyuraikan mogok di luar markas tentera di Khartoum, kata sebuah jawatankuasa doktor.

“Dua penunjuk perasaan terbunuh selepas terkena peluru hidup yang diarahkan oleh Majlis Ketenteraan Transisi,” kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan menerusi Twitter, tanpa memberi butiran lanjut.

Terdapat beberapa laporan mengenai pihak tentera menggunakan kekerasan untuk meyuraikan mogok di depan markas tentera. Penunjuk perasaan berkhemah di situ sejak beberapa minggu lalu.

“Sekarang wujud cubaan untuk menyuraikan mogok di markas atas arahan majlis tentera,” kata Persatuan Profesional Sudan (SPA) yang melancarkan bantahan di seluruh negara sejak Disember lalu.

Walaupun pemerintahan Omar al-Bashir berjaya digulingkan pada April, namun penunjuk perasaan menggesa pemimpin tentera untuk melepaskan kuasa dan dan memulakan peralihan pemerintahan.

Seorang saksi yang tinggal di Burri berhampiran Khartoum berkata dia mendengar bunyi tembakan dan melihat kepulan asap dari lokasi khemah penunjuk perasaan.

Seorang lagi saksi yang tinggal di timur Khartoum pula berkata, dia ternampak pihak berkuasa memakai seragam polis cuba menyuraikan penunjuk perasaan.

SPA menyeru rakyat Sudan menyertai bantahan untuk menggulingkan majlis tentera dan menggesa kepada bantahan di jalan raya.

Penunjuk perasaan menutup Jalan 60, salah satu jalan utama di Khartoum dengan menyusun batu serta membakar tayar dan batang pokok. – AFP, 3 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen