Ketua kampung solat witir ditembak mati di Narathiwat


Anggota pasukan keselamatan Thailand melakukan rondaan di Narathiwat iaitu wilayah selatan negara terbabit yang sering bergolak. – Gambar EPA 3 Jun, 2019

SEORANG ketua kampung maut manakala seorang lagi cedera ditembak ketika sedang menunaikan solat sunat witir di sebuah masjid di Daerah Rangae, Narathiwat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam (waktu tempatan), Ketua Kampung Awae, Fakrudin Tokdeng, 48, sedang solat  bersama kira-kira 30 orang jemaah di sebuah masjid di kampung itu.

Seorang lagi jemaah, Mayudi Abu, 43, cedera akibat terkena peluru di bahagian paha.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, semua jemaah sedang sujud dan suspek yang menutup muka memasuki masjid dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek melepaskan dua das tembakan iaitu satu di bahagian kepala dan satu lagi belakang mangsa. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Rangae Kapt. Pol. Nathawat Keawhan berkata kira-kira tujuh bulan yang lalu, mangsa menerima ugutan bunuh apabila menerima bungkusan beras yang mengandungi empat butir peluru hidup di masjid yang sama.

“Mangsa ditembak dengan kejam menggunakan rifel AK47,” katanya.

Beliau berkata polis sedang menjejaki individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Mangsa yang meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak berusia 20 dan 16 tahun dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Awae.

Ini merupakan kes kedua kejadian tembak di masjid di Kampung Awae. Dua tahun lepas, Ketua Kampung Kuling, Daerah Yingo maut ditembak di salah sebuah masjid di kampung itu ketika solat subuh bersama jemaah lain. – Bernama, 3 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen