Suspek tembakan rambang Virginia letak jawatan sebelum kejadian


Orang ramai meletakkan bunga di lokasi kejadian tembakan rambang di Virginia Beach, Virginia. Seramai 12 orang mati dalam kejadian itu. – Gambar EPA, 3 Jun, 2019.

JURUTERA yang menembak mati 12 orang di bangunan kerajaan di bandar peranginan di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu, telah meletak jawatan bebrapa jam sebelum kejadian, kata seorang pegawai semalam.

DeWayne Craddock, 40, bertugas sebagai jurutera di jabatan kerja raya di Virginia Beach, Virginia selama 15 tahun. Empat orang turut cedera dalam kejadian tembakan rambang itu.

Menurut kumpulan pemantau Gun Violence Archive yang beribu pejabat di Washigton, ia merupakan kejadian tembakan rambang ke-150 di AS tahun ini.

Semalam, Presiden As Donald Trump hadir di gereja di Virginia dan berdoa untuk mangsa.

Walaupun pihak berkuasa tidak memberikan butiran mengenai motif kejadian, Pengurus Bandar Virginia Beach, Dave Hansen pada sidang media mengesahkan yang Craddock meletak jawatan pada hari kejadian, Jumaat lalu.

“Dia tidak diberhentikan kerja dan bukan dalam proses untuk dipecat,” kata Hansen. 

“Apa yang saya tahu, prestasi kerjanya memuaskan… tiada masalah disiplin.”

Hansen berkata pihak polis sedang mencari surat peletakan jawatan Craddock. – AFP, 3 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen