Amerika minta maklumat media sosial untuk permohonan visa


AS mewajibkan pemohon visa untuk ke negara itu memberikan maklumat akaun media sosial yang mereka ada dalam usaha meningkatkan tahap saringan keselamatan bakal pengunjung. – Gambar EPA, 3 Jun, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) kini mewajibkan pemohon visa untuk ke negara itu memberikan maklumat akaun media sosial yang mereka ada dalam usaha meningkatkan tahap saringan keselamatan bakal pengunjung, lapor Xinhua.

Selain akaun media sosial, pemohon visa juga perlu memberikan akaun emel dan nombor telefon yang digunakan dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

Pemohon visa juga dikehendaki melaporkan status perjalanan dan pengusiran sepanjang tempoh yang sama, serta maklumat sama ada mana-mana anggota keluarga mereka terlibat dengan kegiatan keganasan.

Jabatan Negara AS dipetik menjelaskan langkah terbaru itu bertujuan meningkatkan saringan keselamatan yang menyeluruh.

“Kami sentiasa berusaha mencari mekanisme meningkatkan proses saringan untuk melindungi warga AS dan pada masa sama mendukung kunjungan yang sah ke Amerika,” kata jabatan itu, seperti dipetik Xinhua.

Masukan untuk maklumat berkenaan kini terkandung pada borang permohonan visa yang dikemas kini.

Syarat baharu itu bagaimanapun dikecualikan bagi pemohon diplomatik dan visa rasmi yang tertentu.

Dasar itu terpakai hampir kepada semua kategori permohonan visa termasuk bagi tujuan perniagaan dan pendidikan, yang dianggar melibatkan 710,000 pemohon visa imigran dan 14 juta pemohon visa bukan imigran setiap tahun.

Jabatan Negara AS menyenaraikan 20 platform media sosial yang perlu diserahkan maklumat oleh pemohon visa, antaranya Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, Google+, LinkedIn, Pinterest, dan Tumblr.

Senarai itu bagaimanapun tidak muktamad dan boleh diperluaskan pada masa akan datang, lapor Xinhua. – 3 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen