Kanada tutup sementara kedutaannya di Venezuela


Menteri Luar Chrystia Freeland berkata Ottawa sedang mengkaji status duta khas Presiden Nicolas Maduro ke Kanada. – Gambar AFP, 3 Jun, 2019.

KANADA mengumumkan menutup sementara kedutaannya di Venezuela, susulan Presiden Nicolas Maduro enggan mengiktiraf diplomat yang kritikal terhadap rejimnya.

Pada masa sama, Ottawa sedang mengkaji status duta khas Maduro ke Kanada.

Menteri Luar Chrystia Freeland berkata dalam satu kenyataan, rejim berkenaan bertindak membatasi keupayaan kedutaan asing untuk berfungsi di Venezuela, khususnya mereka yang cenderung ke arah pemulihan demokrasi di sana.

Januari lalu, Kanada bersama-sama Amerika Syarikat (AS) dan kuasa besar Amerika Latin, menjadi antara negara pertama mengiktiraf pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido.

Guaido melantik dirinya sebagai pemangku presiden, sejak perebutan kuasa tercetus sebulan lalu antara beliau dan Maduro.

“Tidak lama lagi, diplomat Kanada di Venezuela tidak akan diberikan akreditasi diplomatik di bawah rejim Maduro, dan visa mereka akan tamat,” kata Freeland.

“Oleh itu, kita tiada pilihan selain menghentikan operasi di Kedutaan Kanada ke Venezuela buat sementara waktu, berkuatkuasa serta-merta.”

Lebih 50 negara kini mengiktiraf Guaido berbanding pemimpin berhaluan kiri Maduro, yang gagal membina ekonomi negara dan dipilih semula dalam pilihan raya yang penuh penyelewengan.

Freeland berkata Kanada juga sedang menilai status diplomat Venezuela yang dilantik oleh rejim Maduro ke Kanada. – AFP, 3 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen