Putrajaya perlu pantau royalti minyak negeri, kata PH Terengganu


Diyana Ibrahim

Pengerusi PH negeri Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pemantauan itu penting bagi memastikan wang royalti minyak membawa manfaat kepada rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2019

PUTRAJAYA perlu ada mekanisme memantau bagaimana kerajaan negeri menggunakan wang royalti minyak supaya ia tidak disalah guna, kata Pakatan Harapan (PH) Terengganu.

Pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pemantauan itu penting bagi memastikan wang royalti minyak membawa manfaat kepada rakyat.

“Memang perlu ada mekanisme supaya kerajaan boleh pantau dengan lebih dekat. Kerajaan perlu pantau keberkesanan (wang royalti minyak), bukan untuk (membiayai) projek mewah saja tapi menyeluruh.

“Mekanisme ini perlu supaya kerajaan negeri ada akauntabiliti terhadap setiap dana yang digunakan,” katanya yang juga pengerusi Amanah negeri kepada The Malaysian Insight.

Raja Bahrin yang juga senator di Dewan Negara menjelaskan mekanisme sedia ada seperti audit oleh Jabatan Audit Negara tidak memantau urusan perbelajaan wang royalti minyak secara khusus, dan kerana itu perlu ada satu mekanisme baru.

Sementara itu, Ketua PKR Terengganu Azan Ismail menyarankan Putrajaya meminda Akta Kemajuan Petroleum 1974 untuk memasukkan peruntukan mewajibkan setiap negeri yang menerima wang royalti minyak mengemukakan audit dana dua kali setahun.

Katanya, laporan itu akan dapat memastikan dana berkenaan tidak disalahgunakan oleh kerajaan negeri.

“Saya rasa kita patut pinda perjanjian royalti minyak iaitu mana- mana pihak atau kerajaan negeri yang menerima royalti hendaklah kemuka laporan audit sebanyak dua kali.

“Kalau kerajaan negeri memperuntukan dana itu untuk pembangunan seperti sekolah atau rumah, rakyat boleh nampak.

“Tetapi kalau perbelanjaan mengurus, bagi sumbangan kepada rakyat miskin kita tak tahu berapa banyak digunakan, akhirnya hilang begitu saja… tak boleh kesan, itu yang kita bimbang,” katanya.

Kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan memberikan wang tuntutan royalti kepada Terengganu yang dianggarkan mencecah RM1.6 bilion.

Semasa PAS memerintah Terengganu sebelum ini antara 1999 dan 2004, kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional tidak memberikan wang royalti sebaliknya digantikan dengan wang ihsan.

Pada April lalu, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu Dewan Undangan Negeri kerajaan negeri menerima RM1.053 bilion wang royalti petroleum dan gas daripada kerajaan persekutuan.

Wang royalti itu dibayar secara berperingkat iaitu RM603 juta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, RM100 juta pada 21 Ogos, RM200 juta pada 8 Oktober dan RM150 juta pada 12 Disember lalu.

Tidak seperti Terengganu, royalti minyak untuk Kelantan tertangguh kerana tindakan mahkamah terhadap Petronas, yang ditarik balik baru-baru ini. – 3 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen