Tentera Thailand nafi curi wang tunai, bakar rumah di Yala 


Dalam insiden berbalas tembakan selama hampir lima jam itu, seorang anggota kumpulan bersenjata maut dan tiga anggota renjer cedera.– Gambar EPA, 2 Jun, 2019

PIHAK Tentera Thailand hari ini nafi melarikan wang tunai 200,000 baht dan membakar rumah untuk memusnahkan bukti dalam insiden berbalas tembakan dengan anggota kumpulan bersenjata di Yala pada Isnin lalu.

Jurucakap Tentera Bahagian Ke-4, Kol Pramote Prom-in menjelaskan bahawa pihak tentera tidak membakar rumah tersebut yang menjadi tempat bersembunyi kumpulan anggota bersenjata. Rumah tersebut terletak di  Kampung Jak Tamae, daerah Jaha, Yala.

“Hanya 60 anggota pasukan keselamatan terlibat dalam insiden berbalas tembakan dan bukan 500 yang ditular dalam laman sosial,” katanya pada sidang media di Yala hari ini.

Dalam insiden berbalas tembakan selama hampir lima jam itu, seorang anggota kumpulan bersenjata maut dan tiga anggota renjer cedera.

Pramote berkata pihak tentera turut merampas sepucuk pistol, tiga buah motosikal dan bahan-bahan untuk menghasilkan bom buatan sendiri dalam rumah tersebut.

Semalam, akaun Facebook “BRN Barisan Revolusi National” memuatkan sekeping gambar dengan catatan yang mendakwa pasukan keselamatan Thailand telah mencuri wang tunai 200,000 baht dan membakar rumah dalam insiden pada 27 Mei lalu. – Bernama, 2 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen